Monday, July 19, 2010

Malu, takut punca barah payudara meningkat

Perasaan malu dan takut menjadi penyebab utama golongan wanita Melayu di negeri ini tidak mendapatkan rawatan awal bagi merawat penyakit barah payudara yang dihidapi sehingga membawa kepada kematian.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A Rahman Mokhtar berkata, disebabkan perasaan malu yang masih menebal terutama dalam kalangan wanita yang tinggal di luar bandar, penghidap penyakit terbabit hanya datang mendapatkan rawatan ketika barah sudah berada pada peringkat kritikal iaitu peringkat tiga atau empat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, berkata apabila pesakit datang mendapatkan rawatan pada peringkat barah sudah merebak ke tulang dan bahagian lain, harapan untuk sembuh tipis malah ia meninggikan lagi risiko kematian.

“Gara-gara malu dan takut mendapatkan rawatan, pesakit sanggup menahan sakit berbulan-bulan walaupun tahu dari awal lagi bahawa mereka menghidap penyakit barah.

“Malah, sebagai doktor perubatan saya kerap menghadapi kes sebegini dan di kawasan saya sahaja (Kuala Besut) dua kes kematian akibat lambat mendapatkan rawatan dilaporkan setakat enam bulan pertama tahun ini,” katanya kelmarin.


Beliau kesal kerana kes lambat mendapatkan rawatan masih berlaku sedangkan program kesedaran mengenainya sering dilakukan oleh Kerajaan Negeri, pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Hasil program kesedaran itu, kita lihat kesedaran masyarakat di negeri ini semakin meningkat meskipun masih terdapat segelintir wanita yang tidak mengendahkannya.

“Sehubungan itu, kita harap selepas ini program kesedaran sebegini dapat diperhebatkan lagi agar semua wanita sedar bahaya penyakit ini yang menjadi pembunuh utama dalam kalangan mereka,” katanya.

A Rahman berkata, langkah pesakit mendapatkan rawatan di hospital membolehkan kerajaan menyalurkan bantuan sebaiknya.

“Kita menyediakan bantuan khas kepada pesakit termasuk bantuan bayaran bil hospital, bantuan buah dada palsu dan bantuan coli palsu.

“Semua pesakit barah payudara layak menerima bantuan ini tanpa syarat sampingan,” katanya.

No comments:

Post a Comment