Thursday, July 8, 2010

Media Prima promosi Piala Monsun

Perjanjian - Ahmad Said menyaksikan pertukaran dokumen antara Ahmad A Talib dan Sabbaruddin - Gambar Zulkifli Putra

Kejohanan edisi keenam Piala Monsun tahun ini menerima suntikan baru apabila stesen televisyen di bawah naungan Media Prima Berhad (Media Prima), TV9 dilantik sebagai penyiar rasmi acara sukan bertaraf antarabangsa itu yang dijadualkan berlangsung 30 November hingga 5 Disember depan.

Pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) antara Media Prima dan penganjur T-Best Events Sdn Bhd (T-Best) juga membolehkan acara sukan tersohor itu dipromosikan secara lebih meluas menerusi rangkaian televisyen, radio dan akhbar di bawah konglomerat media itu, sekali gus dijangka menarik lebih ramai penonton.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata pemilihan Media Prima yang memiliki pakej media lengkap meliputi rangkaian televisyen TV3, NTV7 dan 8TV, selain rangkaian akhbar Berita Harian, Harian Metro dan New Straits Times serta radio HotFM, FlyFM dan OneFM bakal menyemarakkan lagi liputan perlumbaan kapal layar berprestij yang menjadi pusingan terakhir siri perlumbaan World Match Racing Tour (WMRT).

Ini satu perkembangan baik dan membolehkan liputan lebih meluas kepada penonton tempatan dan seluruh dunia, melebihi jumlah 1.6 bilion penonton dari lebih 183 negara seperti tahun lalu.

Usaha T-Best bekerjasama dengan Media Prima Berhad menerusi TV9 ini satu perkembangan menarik dan memberi nilai tambah terutama dalam menggalakkan pembabitan rakyat tempatan memeriahkan acara berkenaan, katanya selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian itu di Wisma Darul Iman, semalam.

Media Prima diwakili Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial, Datuk Ahmad A Talib manakala T-Best diwakili Pengerusinya, Tan Sri Sabbaruddin Chik.

Piala Monsun 2010 menjadi perlumbaan pusingan ke-10 dan terakhir siri WMRT yang diadakan di Pulau Duyong, di sini, selepas siri pertama bermula di Perancis, Jerman, Korea Selatan, Portugal, Sweden, Switzerland, Denmark, Bermuda dan China.

Sementara itu, Ahmad A Talib berkata, Media Prima melihat Piala Monsun sebagai peluang terbaik membantu kerajaan negeri mempromosikan sektor pelancongan, apatah lagi acara itu sudah meletakkan Terengganu sebagai destinasi wajib pelayar dunia.

Kita patut menyokong usaha yang boleh memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan dan kejohanan berprestij seperti ini, sekali gus membantu meningkatkan kehadiran pelancong .

Katanya, TV9 akan memberikan publisiti menerusi semua syarikat berita di bawah Media Prima terutama rancangan terbitan TV9 sendiri seperti Nasi Lemak Kopi O, Berita TV9 dan Chopp serta pada masa sama menganjurkan karnival di Pulau Duyong.

Berita Harian

No comments:

Post a Comment