Keberanian pelajar wanita dibantu dengan kepekaan seorang guru sebuah sekolah terhadap pelajar menyumbang kepada kegagalan hasrat dua lelaki melarikan dan merogol seorang pelajar Tingkatan Tiga, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permaisuri Nur Zahirah dekat Pengkalan Nyireh, Kuala Besut, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, guru lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Man, 31, ketika itu memandu kenderaan bersama anaknya melalui jalan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Permaisuri Nur Zahirah yang terletak bersebelahan sekolah itu.
Menurutnya, ketika memandu dia ternampak seorang lelaki di dalam sebuah kereta Perodua Kenari berwarna hitam sedang berusaha menarik seorang pelajar perempuan yang berpakaian lengkap sekolah masuk ke dalam kereta.
“Curiga dengan kejadian itu, saya cuba menghalang kenderaan tersebut, tetapi mereka berjaya mengelak dan beredar dari situ dengan membawa pelajar berkenaan.
“Saya tidak nampak wajah lelaki di dalam kereta itu kerana cermin gelap, malah terfikir mungkin pemandu dan penumpang kereta itu adalah ahli keluarga pelajar terbabit,” katanya.
Bagaimanapun, dia curiga apabila melihat buku dan beg pelajar terbabit bertaburan di atas jalan raya.
Kemudian, dia bertanya kepada pelajar lain di luar sekolah menengah untuk mengetahui maklumat mengenai pelajar itu berdasarkan nama yang tertera pada kertas soalan peperiksaan.
“Saya terkejut apabila seorang pelajar perempuan yang saya temui memberitahu, dua lelaki yang menaiki kereta hitam (Kenari) terbabit sebelum ini pernah cuba menarik tangan pelajar lain masuk ke dalam kereta, tetapi gagal.
"Menyedari perkara itu saya terus mencari keluarga mangsa di Limbongan untuk memaklumkan kejadian itu bagi mendapatkan pengesahan keluarga mengenai suspek," katanya.
Menurutnya, apabila mengesyaki lelaki itu penjenayah, dia dan bapa mangsa ke Balai Polis Kampung Raja untuk membuat laporan.
Katanya, hanya beberapa minit berada di balai berkenaan, ada penduduk kampung menghubungi polis memaklumkan sebuah kereta Kenari terbabas di Kampung Limbongan, kira-kira satu kilometer dari SMK Permaisuri Nur Zahirah dan dia bergegas ke tempat kejadian untuk mengesahkan kereta itu yang dilihatnya sebelum itu.
“Ketika sampai, mangsa yang tidak sedarkan diri telah diangkat ke dalam kereta bapanya manakala dua lelaki terbabit melarikan diri.
“Namun, saya gembira apabila polis berjaya memberkas kedua-dua suspek di Kuala Besut dalam tempoh satu jam,” katanya.
Nafsu lelaki gila seks
Sebenarnya, demi mempertahankan maruahnya, pelajar Tingkatan Tiga itu bertindak nekad melawan dua lelaki gila seks yang menculik dan cuba merogolnya di Kampung Limbongan itu.
Gadis itu meronta dan melawan mereka ketika ditarik masuk ke dalam kereta menyebabkan pemandunya hilang kawalan dan kenderaan terbabas, dan lalu terjatuh dalam parit.
Kedua-dua lelaki itu berumur 23 dan 15 tahun, ditahan polis di sebuah rumah sejam selepas kejadian itu. Suspek berusia 23 tahun luka di kepala.
Mangsa cedera dan koma selepas kereta terbabas dan jatuh dalam parit. Dia dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang, dua lelaki menghampiri pelajar yang mengikuti program di Sekolah Menengah Permaisuri Nur Zahirah.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Noor Zainy Mohd Nor berkata, ketika sedang berjalan seorang diri untuk ke kedai tempat keluarganya berniaga di Kampung Limbongan, kira-kira 1.5 kilometer dari sekolahnya, mangsa ditarik masuk ke dalam kereta jenis Perodua Kenari bercermin gelap dan dilarikan.
Menurutnya, kedua-dua suspek melarikan diri dan meninggalkan mangsa yang tersepit dicelah antara kerusi pemandu dan kerusi penumpang depan dan tidak sedarkan diri. Mangsa cedera di hidung, kaki dan leher,” katanya.
Noor Zainy berkata, hasil maklumat orang ramai, beliau mengetuai operasi memburu suspek.
Dengan kerjasama orang ramai, kedua suspek ditahan di sebuah rumah di Kampung Alor Jejawi, Kuala Besut.
“Polis mengesan dan memberkas suspek dalam tempoh kurang satu jam selepas suspek berjalan kaki sejauh kira-kira lima kilometer daripada tempat kereta terbabas.
“Suspek yang cedera itu membuang bajunya yang dipenuhi darah ke dalam semak dan mencuri baju di ampaian,” katanya.
Manakala seorang lagi suspek berumur 15 tahun hanya belajar setakat Tingkatan Satu dan bekerja di kedai membasuh kenderaan.
Noor Zainy memberitahu, mangsa ditinggal di Kampung Paya Rawa dekat Kampung Raja, dihantar ke Hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan, masih belum sedarkan diri.
Sementara itu di Kota Bharu, bapa mangsa, Hasan (bukan nama sebenar) berkata, penculik itu menanggalkan seluar dalam anaknya dan cuba merogolnya di dalam kereta itu.
“Saya diberitahu oleh adik saya, bahawa anak saya berada dalam sebuah kereta yang terbabit dalam kemala- ngan kira-kira 500 meter dari rumahnya,” katanya ketika ditemui di HUSM.
Hasan bergegas ke tempat kejadian untuk melihat keadaan anaknya dan sebaik tiba anaknya dikeluarkan dengan bantuan orang ramai.
”Saya difahamkan, suspek cuba merogol anak saya kerana ketika kejadian, seluar dalam anak saya sudah ditanggalkan,” katanya.
Hasan berkata, berikutan keadaan anaknya yang kritikal, dia dirujuk ke HUSM kira-kira jam 10 malam kelmarin.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment