Monday, August 23, 2010

Baca Khutbah Yang Disediakan JHEAT - Ramli Nuh

Imam yang dilantik secara sah di negeri ini diingatkan agar membaca khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bagi mengelak tindakan dikenakan ke atas mereka.

Timbalan Pengerusi Agama dan Penerangan negeri, Muhammad Ramli Nuh berkata, pihaknya mendapat laporan bahawa masih ada iman yang tidak mengikut prosedur iaitu tidak membaca khutbah yang disediakan jabatan itu.

“Kebanyakan kes yang dikenal pasti membabitkan masjid yang dikuasai parti pembangkang dan setakat ini kita tidak berhak melucutkan jawatan yang dipegang itu, sebaliknya hanya bertindak memotong elaun bulanan yang diperoleh sebelum ini.

“Saya nasihatkan imam yang dilantik agar mematuhi syarat yang ditetapkan kerana setiap teks khutbah yang disediakan itu merangkumi perkembangan semasa dunia hari ini,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Bantuan kepada Jawatankuasa Masjid, Imam dan Bilal Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh, Seberang Takir.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung salah laku yang membabitkan imam dan bilal di negeri ini, katanya setakat ini tiada sebarang rekod dicatatkan dan beliau berpuas hati dengan tanggungjawab yang dilaksanakan.

Sementara itu, seramai 87 imam dan bilal diraikan pada majlis itu dan beliau turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada jemaah masjid.

No comments:

Post a Comment