Syarikat penyedia talian mudah alih, Celcom, terus mengungguli pesaingnya apabila mendominasi lebih 55 peratus pengguna talian mudah alih di Terengganu, Kelantan, dan Pahang.
Naib Presiden Celcom Wilayah Timur Datuk Sulaiman Ahmad berkata ia merupakan tahun kelima syarikat berkenaan menguasai Wilayah Pantai Timur, dengan jumlah pelanggan prabayar dan pascabayar melebihi dua juta orang setakat ini.
"Pakej serta produk baharu yang disediakan oleh syarikat seperti Celcom Blue, yang menawarkan kadar panggilan murah 10 sen seminit, menjadi penyumbang kepada syarikat untuk terus menajdi syarikat penyedia talian mudah alih nombor satu di Pantai Timur.
"Menerusi sokongan pelbagai produk inovatif dan dibantu oleh 1,300 rakan niaga di Wilayah Timur, kita menyasarkan peningkatan 10 peratus pelanggan setahun," katanya kepada kepada Bernama selepas majlis berbuka puasa bersama rakan niaga Celcom, di Kuala Terengganu, malam kelmarin.
Malah, katanya Celcom turut menguasai dari segi penggunaan jalur lebar di wilayah ini dengan lebih 100,000 pelanggan ketika ini.
Katanya bagi mengatasi masalah gangguan talian menjelang musim perayaan yang bakal menjelang, Celcom telah membuat persiapan dengan menambah 300,000 kapasiti tambahan secara berperingkat-peringkat.
"Dengan penambahan kapasiti itu, ia dijangka mampu menampung penggunaan talian yang akan meningkat pada masa itu, sekaligus mengelak gangguan talian seperti yang berlaku tahun lepas," katanya.
Sulaiman berkata, Celcom akan menambah 92 kawasan liputan baharu di Wilayah Timur tahun ini, dengan 15 dari kawasan itu di Terengganu.
No comments:
Post a Comment