Adalah silap sama sekali kalau katakan Kerajaan Negeri Terengganu hanya berpeluk tubuh dan tidak berunding dengan Felda.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said tetap meneruskan perundingan dengan Fedla sebagai menyambung usaha bekas dua Menteri Besar yang lalu.
Kerajaan Negeri tidak berdiam diri dalam isu yang berlarutan kira-kira 20 tahun bagi menempatkan peneroka di rancangan tanah Felda selain menuntut pampasan daripada agensi kerajaan Pusat itu.
Kerana itu kerajaan negeri bersetuju menyediakan kertas cadangan kepada pengurusan Felda bagi menyelesaikan masalah berhubung kemasukan peserta baru sebagai peneroka di tanah yang dimajukan perbadanan itu.
Kertas cadangan tersebut adalah tambahan kepada dua cadangan terdahulu iaitu memasukkan peneroka baru dan kedua meminta Felda membayar 30 peratus kepada kerajaan negeri daripada pendapatan tanah yang dimajukan untuk diagihkan kepada golongan miskin.
Kerajaan negeri menyerahkan 15,200 hektar tanah kepada Felda sambil mengharapkan Felda akan memasukkan peneroka kerana kerajaan negeri berhasrat mengurangkan kadar kemiskinan golongan petani dan nelayan.
Namun begitu, pada 1 Januari 1986 Felda telah mengubah dasarnya dan tidak lagi memasukkan peserta di atas tanah yang diusahakan dan sejak itu sudah dua kali kerajaan negeri menolak pemberian bayaran daripada pihak Felda ketika Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad menjadi Menteri Besar dan kemudiannya Dato’ Seri Idris Jusoh.
Kini hanya Terengganu satu-satunya negeri yang tidak menerima sebarang pampasan daripada Felda apabila agensi itu mengubah dasarnya lebih 20 tahun lalu manakala negeri lain semuanya menerima bayaran ini kerana kerajaan negeri masih menjalankan rundingan dengan pihak Felda.
"Terengganu, satu-satunya negeri yang tidak terima bayaran premium daripada Felda, tak seperti negeri lain kerana kita bertegas tak nak masukkan peneroka dalam tanah yang diusahakan Felda.
"Sebab itulah kita sedang berunding dengan Felda untuk kekalkan konsep asal. Kita nak 30 peratus tanah yang tak dimajukan dan wang diagihkan kepada peneroka miskin," ujarnya.
Ahmad Said juga menafikan dakwaan kononnya kemelut itu berlarutan sejak sekian lama dan tiada sebarang usaha menanganinya semenjak kerajaan negeri di bawah kepimpinan Tan Sri Wan Mokhtar Wan Ahmad, Datuk Seri Idris Jusoh sehinggalah sekarang.
Tidak pula diketahui sama ada perundingan dibuat ketika kerajaan PAS berkuasa di Terengganu di bawah kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
"Ketika kerajaan negeri di bawah pimpinan Wan Mokhtar, Idris dan hingga sekarang, pelbagai usaha dan perundingan dengan Felda telah dibuat. Percayalah akan ada sinar di hujung terowong," kata Ahmad Said.
“Cadangan baru ini ialah meminta Felda membuat bayaran kepada 3,700 keluarga miskin dan termiskin di negeri ini dengan kadar RM1,000 sebulan,” kata Ahmad Said.
Perkara ini turut dijelaskan oleh Menteri Besar itu kepada persidangan DUN Negeri ketika menjawab soalan wakil PAS dari Wakaf Memperlam, Abdul Wahid Endut/
“Kerajaan percaya dengan 15,200 hektar tanah yang dibangunkan Felda dapat menempatkan 3,700 keluarga miskin dengan kadar empat hektar bagi setiap peneroka, dengan ini kita dapat mengurangkan lebih 50 peratus masalah kemiskinan kalangan masyarakat,” katanya.
Dua bulan lalu Menteri Besar telah menemui Perdana Menteri bagi menyatakan hasrat kerajaan negeri berkait dengan masalah yang tidak ada penyelesaiannya ini dan mendapat reaksi positif daripada Dato’ Seri Mohd Najib.
"Sudah banyak kali kita adakan perbincangan dengan Felda dan kita sedang tunggu tarikh untuk perbincangan lanjut. Yang penting ia memberi keuntungan kepada rakyat Terengganu," katanya.
“Satu perjumpaan sedang diatur untuk bertemu dengan Pengerusi Felda, Tan Sri Dr Mohamad Yusof Noor bagi mencari penyelesaian,” katanya.
Sehingga ini Terengganu mempunyai 5,500 keluarga miskin dan termiskin yang perlu dibantu untuk mengeluarkan mereka dari kepompong kemiskinan sebab itu kerajaan masih mempertahankan konsep untuk memasukkan peneroka.
“JIka 3,700 orang dapat dimasukkan ke dalam tanah rancangan atau diberi elaun bulanan RM1,000, baki 1,800 keluarga miskin akan diserapkan kedalam pelbagai program yang dijalankan oleh kerajaan pasti usaha mengurangkan kadar kemiskinan dapat dicapai,” katanya.
No comments:
Post a Comment