Tuesday, August 3, 2010

Kerajaan Latih Penduduk Setempat Dalam Industri Pelancongan

Kerajaan Negeri akan memberi latihan bersesuaian kepada penduduk pulau supaya mereka turut sama memainkan peranan membangunkan industri pelancongan di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata latihan itu akan diberi dari peringkat sijil hingga ke diploma.

"Kita tidak dilahirkan untuk menjadi hebat dalam industri pelancongan, kecuali kita melatih mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian seminar keusahawan pelancongan peringkat negeri Terengganu di Kuala Terengganu, semalam.

Abdul Rahin berkata kerajaan akan mengadakan latihan itu dengan kerjasama Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu atau lain-lain agensi berkaitan.

Abdul Rahin berkata sebagai langkah permulaan, kerajaan akan memilih seramai kira-kira 20 orang anak pulau, di bawah peruntukan yang ada untuk menjalani latihan sebagai pemandu pelancong.

Mengenai kehadiran pelancong ke Terengganu, beliau berkata setakat ini kehadiran pelancong tidak terjejas walaupun beberapa kawasan ditutup akibat kelunturan batu karang.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu Wan Supian Wan Ishak berkata sehingga kini lebih 400 orang menjadi ahli persatuan itu.

No comments:

Post a Comment