Wednesday, August 4, 2010

Kerajaan Negeri Hidupkan Semula Hadiah Sastera Terengganu

Tuan Sharif Putera (kiri) menyampaikan novel kepada Abdul Rahin Mohd. Said di Kuala Terengganu, semalam.

Bagi menyemarakkan semula kegiatan sastera yang makin muram di negeri ini, kerajaan negeri bersetuju menaja Hadiah Sastera Terengganu Darul Iman (HASDI) bermula tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said berkata, ia bagi mengiktiraf sasterawan anak negeri yang prolifik dan menghasilkan karya-karya bermutu.
Di samping itu, ia mencungkil bakat-bakat baru terutama di kalangan remaja dan merangsang mereka untuk terus berkarya dalam pelbagai genre.

''HASDI dicadangkan oleh Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita) dan ia akan dijayakan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT)," katanya.

Bercakap pada sidang akhbar di pejabatnya di Kuala Terengganu, semalam, beliau berkata, HASDI diwujudkan bagi menggantikan Anugerah Sastera Darul Iman (ASDI) yang terhenti sejak 2007.

ASDI ketika itu merupakan pertandingan menulis novel berunsur Islam yang penyertaannya terbuka kepada penulis di peringkat antarabangsa melalui karya dalam bahasa Melayu.

''HASDI dengan skop penulisan diperluaskan merupakan hadiah dwi tahunan yang hanya terbuka kepada anak negeri di mana sahaja mereka berada di samping yang bermastautin di Terengganu," katanya.

Sebanyak lima kategori diwujudkan termasuk Tokoh Sastera Negeri dengan ganjaran sebanyak RM10,000 sebagai pengiktirafan kepada mereka yang banyak menyumbang ke arah kemajuan sastera.

''Di samping itu, diwujudkan juga Hadiah Cekal Sastera kepada tokoh yang cekal dalam penciptaan karya dan penataran bidang penulisan secara berterusan dengan ganjaran RM5,000," katanya.

Bagi kategori HASDI (Umum/Remaja,Kanak-Kanak) terbitan 2008 dan 2009, ia dibahagikan kepada dua kategori termasuk kategori buku.

''Bagi kumpulan cerpen, puisi, cerpen kanak-kanak dan remaja; novel kanak-kanak dan remaja; novel umum; esei dan kritikan; serta kumpulan drama radio, pentas dan televisyen setiap hadiah dicadang RM2,000 hingga RM2,500.

''Manakala bagi karya eceran pula 21 hadiah disediakan dengan setiap satu bernilai RM500," katanya.

Bagi kategori C yang melibatkan penulis muda berusia 21 tahun ke bawah, tiga hadiah karya kreatif bernilai RM500 setiap satu disediakan.
Tempoh penerimaan bahan karya bermula pada 15 Ogos depan hingga 15 Oktober dan hadiah dijangka disampaikan dalam satu majlis pada penghujung tahun ini.

Serahan naskhah atau salinan daripada karya yang diterbitkan dan tahun penerbitan hendaklah menggunakan borang khas yang disediakan oleh urusetia.

Bagi mereka yang berminat boleh menghubungi Ketua Satu Pelita, Tuan Sharif Putera 019-9152155 atau Setiausaha Pelita, Abdul Mubin Ismail 016-9202200/019-9532200 untuk mendapatkan keterangan lanjut.

No comments:

Post a Comment