Kerajaan Terengganu akan bekerjasama dengan persatuan penyelam dari Emirates Diving Association (EDA) yang berpusat di Dubai untuk menjadikan pulau-pulau di negeri itu sebagai pusat tumpuan penyelam dari seluruh dunia.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata, kerajaan akan mengadakan lawatan ke Dubai bagi menentukan tindakan yang perlu diambil untuk menarik penyelam-penyelam profesional mengadakan aktiviti itu di pulau-pulau di negeri ini.
"Kita ingin bekerjasama dengan EDA dan ingin jadikan EDA sebagai duta kita di Timur Tengah.
"Ini adalah satu usaha yang baik dan kita susuli dengan mengadakan seminar, bengkel bersama EDA yang mempunyai kira-kira 1,400 penyelam profesional yang ahlinya daripada serata dunia," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa menerima kunjungan sembilan orang ahli EDA yang sedang meninjau produk pelancongan di negeri Terengganu.
Sebelum itu, anggota EDA yang terdiri daripada negara seperti Mesir, Perancis, England, Afrika Selatan, Filipina itu telah mengadakan aktiviti menyelam di Pulau Perhentian, Pulau Redang dan Pulau Bidong selama seminggu bermula 13 Ogos lepas.
Rahin berkata, buat permulaan, Terengganu mensasarkan untuk menarik 20 peratus daripada anggota EDA yang merupakan penyelam profesional itu datang menyelam di pulau-pulau negeri ini.
"Setelah mereka pulang, mereka akan bercakap dari mulut ke mulut yang merupakan satu sistem pemasaran yang berkesan, selain menunjukkan video atau gambar-gambar yang diambil di sini kepada rakan-rakan mereka, ia sudah tentu menjadi tarikan untuk berkunjung ke Terengganu," katanya.
Sementara itu, Pengarah Projek EDA Rima Fadl Sammer Hassan Al-Abbas ketika ditemui berkata, persatuannya mempunyai lebih 1,400 penyelam profesional dari seluruh dunia.
Katanya, anggota persatuan EDA terdiri daripada kalangan yang berkemampuan dan dari pelbagai latar belakang seperti bekerja sebagai jurutera, akauntan dan ahli perniagaan yang aktif mengadakan akvitiviti menyelam di seluruh dunia.
Menurutnya pulau-pulau di Terengganu yang mempunyai pemandangan dan batu karang yang menarik bersesuaian untuk aktiviti menyelam anggota persatuan itu yang sememangnya suka kepada cabaran.
No comments:
Post a Comment