Wednesday, August 4, 2010

MAIDAM Lantik 1,497 Amil Di Terengganu

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) melantik seramai 1,497 amil di seluruh negeri bagi mengutip zakat fitrah sepanjang Ramadan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Wan Harujan Sulaiman berkata, mereka terdiri di kalangan jawatankuasa masjid selain iman dan bilal di kawasan masing-masing.

Menurut beliau, bagi memberikan pendedahan kepada sebilangan amil yang baru dilantik bagi mengendalikan urusan itu, satu kursus kepada amil baru akan diadakan pada 8 Ogos ini.

''Ini termasuk dalam urusan mengisi borang dan cara penyimpanan wang untuk memastikan urusan kutipan itu dilakukan dengan sempurna," katanya.

Menurut beliau, setiap amil yang dilantik perlu menyerahkan kutipan zakat kepada MAIDAM tidak lebih tiga hari atau nilai wang tidak lebih dari RM5,000.

''Sehingga kini kesemua amil yang dilantik dapat menjalankan tugas dan amanah yang diberikan itu dengan penuh tanggungjawab dan tiada kes penyelewengan dilaporkan,'' katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.

Wan Harujan berkata, selain menempatkan amil di masjid-masjid seluruh negeri, amil juga turut ditempatkan di tempat tumpuan ramai seperti pusat membeli-belah.

Beliau menasihatkan umat Islam di negeri ini supaya membayar zakat melalui amil bertauliah sahaja.

Mengenai kadar zakat fitrah pada tahun ini, beliau berkata, ia akan diumumkan pada 8 Ogos ini.

Pada tahun lalu Terengganu menetapkan kadar zakat fitrah antara RM5 hingga RM8 seorang.

Beliau berkata, MAIDAM juga telah membuat pengagihan Bantuan Zakat Hari Raya sebanyak RM10.796 juta membabitkan 30,846 orang asnaf fakir miskin mulai semalam sehingga 10 Ogos ini.

Kuala Terengganu mencatatkan bilangan teramai iaitu 9,369 orang, Besut (5,400 orang), Marang (5,256 orang), Kemaman (3,661 orang), Dungun (3,435 orang), Hulu Terengganu (2,735 orang) dan Setiu (990 orang).

No comments:

Post a Comment