Friday, September 24, 2010

Agong Akhiri Lawatan Ke Kanada Dengan Meminta Rakyat Malaysia Tingkatkan Prestasi Diri

Tuanku Mizan Zainal Abidin bergambar dengan delegasi Malaysia dan pengurusan kanan Hospital Besar Montreal, Kanada, kelmarin. Di sebelah kiri Baginda ialah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said. - BERNAMA

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengakhiri Lawatan Tugas Khas baginda selama enam hari ke Kanada kelmarin (semalam di Malaysia).

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kanada Selwyn Das berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Toronto Pearson untuk mengucapkan selamat berangkat pulang kepada Seri Paduka yang menaiki pesawat khas pada 11 malam (11 pagi Khamis waktu Malaysia) selepas menghadiri majlis santapan malam bersama masyarakat Malaysia di Villa Malaysia di Toronto.

Menurut Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong, Seri Paduka akan singgah di London bagi menyertai Karnival Merdeka Bersama rakyat Malaysia anjuran Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London.

Seri Paduka dijadual tiba di Malaysia dari lawatan itu pada 28 September.

Kunjungan Tuanku Mizan ke Kanada adalah lanjutan kerjasama projek Brain Gain Malaysia yang dianjurkan bersama oleh Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM), Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

Ia antara lain untuk meninjau peluang kerjasama antara institusi pengajian tinggi tempatan dengan universiti terkemuka di Kanada dalam pelbagai bidang.

Sementara itu pada majlis santapan malam bersama masyarakat Malaysia di Villa Malaysia di Toronto Rabu malam Yang di-Pertuan Agong in menyeru rakyat Malaysia di Kanada supaya terus meningkatkan mentaliti serta prestasi diri seiring dengan kemajuan negara tersebut.

Tuanku Mizan Zainal Abidin diperkenalkan kepada pemilik Restoran Villa Malaysia, Howard Chew (dua dari kiri) oleh Selwyn Das (dua dari kanan) pada majlis makan malam bersama rakyat Malaysia di Toronto, kelmarin.

Titah Seri Paduka, keberangkatan baginda ke Universiti McGill di Montreal dan Universiti Guelph di sini telah dapat memberi gambaran yang jelas mengenai komitmen kerajaan Kanada dalam bidang pendidikan.

"Beta juga percaya bahawa negara ini mempunyai banyak potensi untuk bertambah maju di masa hadapan. Jesteru Beta menyeru rakyat Malaysia yang berada di sini dapat mengambil peluang untuk terus meningkatkan mentaliti serta prestasi diri ke tahap yang lebih tinggi seiring dengan kemajuan negara," titah baginda.

Tuanku Mizan berada di Toronto dalam rangka Lawatan Tugas Khas ke Kanada selama enam hari. Turut serta ialah Raja Permaisuri Agong, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan isteri, Toh Puan Seri Nurliza Mahmud.

Baginda juga melahirkan rasa sukacita apabila difahamkan bahawa rakyat Malaysia yang berada di negara ini adalah terdiri dari kalangan kumpulan profesional, ahli perniagaan serta para penuntut di universiti serata Kanada.

Baginda juga mengingatkan rakyat Malaysia yang bermastautin di negara ini supaya sentiasa menjaga nama baik dan imej Malaysia dalam apa jua perkara yang mereka lakukan.

"Pada masa yang sama, beta berharap saudara dan saudari sekalian akan terus menghormati adat resam dan cara hidup masyarakat tempatan," titah baginda.

Terdahulu Tuanku Mizan sempat mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia di Kanada.

"Sesungguhnya beta serta seluruh anggota rombongan dari Malaysia berasa amat gembira kerana berpeluang untuk bertemu dengan saudara dan saudari sekalian pada bulan syawal yang mulia ini dan membolehkan beta mengetahui tentang hal-ehwal kebajikan dan keadaan rakyat Malaysia di sini, " titah baginda.

Baginda bertitah lawatan ke Kanada ini akan dapat mengeratkan lagi hubungan baik dan kerjasama antara Malaysia dengan Kanada yang merupakan sebuah negara sahabat bagi Malaysia.

Terdahulu Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kanada Selwyn Das dalam ucapannya menyeru kira-kira 20,000 rakyat Malaysia di Kanada agar dapat bersama-sama mengukuhkan dan meningkatkan imej Malaysia di dalam semua bidang yang terlibat khususnya dalam bidang pendidikan, perniagaan serta pelancongan.

Beliau juga mengingatkan agar semua rakyat Malaysia juga tidak sekali-kali melupakan tanah air dan sentiasa bersedia menyumbang kepada pembangunan negara melalui kepakaran, kemahiran dan pengalaman yang dipunyai oleh mereka khususnya bagi memastikan Gagasan 1Malaysia boleh direalisasikan.

"Pada masa sama, saya juga berharap rakyat Malaysia di Kanada akan sentiasa memberi sokongan dan kerjasama yang penuh kepada usaha-usaha Suruhanjaya Tinggi untuk mengukuhkan hubungan dua hala di antara Malaysia dan Kanada," katanya.

Terdahulu pada Khamis Tuanku Mizan melawat Universiti Guelph di mana baginda diberi taklimat mengenai kajian sains pemakanan dan pertanian termasuk inovasi Gen Biosteel, pertanian persis dan teknologi makanan melalui program NASA Life Support System (Salsa).

Baginda turut dibawa melawat projek rumah hijau Salsa, iaitu projek penyelidikan yang bertujuan mengkaji teknologi pertanian di angkasa lepas.

1 comment:

  1. Hello, Saya Puan Heather Putih, syarikat pinjaman pinjaman peribadi. Kami sedang dan pakar dalam memberikan yang akhir pinjaman tahun ini, pinjaman Krismas, tahun pinjaman baru untuk anda untuk membayar apa-apa pinjaman koperasi yang anda sedang berada di sekarang kita memberikan pinjaman peluang seumur hidup untuk anda untuk membayar bil-bil anda dan hutang peribadi dan memiliki perniagaan anda. pinjaman diberi kepada individu dan syarikat pada kadar faedah yang sangat rendah sebanyak 2%. Jadi hubungi kami hari ini melalui e-mel: (qualityloanfirms@asia.com)
    (heatherwhiteloanltd@gmail.com). Datang dan perbezaan pengalaman dalam perkhidmatan kami.

    ReplyDelete