Friday, September 24, 2010

Empat kawasan inap desa baru di Terengganu

Empat lagi kawasan inap desa (homestay) baru di Dungun dan Kuala Terengganu dijangka diluluskan tidak lama lagi ekoran sambutan yang amat menggalakkan.

Pengarah Pejabat Pelancongan negeri, Ahmad Fathil Abdul Ghani berkata, bagaimanapun permohonan untuk mendaftarkan sebagai inap desa masih di peringkat penelitian kementerian berkaitan.

Menurut beliau, ini kerana beberapa kriteria perlu diambil kira termasuk melihat kemudahan bilik yang disediakan, dapur dan tandas serta aktiviti setempat di kawasan berkenaan.

''Ia selaras dengan matlamat untuk menggalakkan lebih ramai warga desa bergiat dalam industri pelancongan yang dilancarkan pada 1994," ujarnya kepada Utusan Malaysia di Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, di Terengganu, program inap desa hanya mula dilaksanakan sejak tiga tahun lalu dan jumlah pelancong asing terus meningkat kepada 300 peratus pada tahun ini.

Katanya, inap desa di bawah anjuran kementerian merupakan satu bentuk pengalaman di mana pelancong akan tinggal bersama keluarga tuan rumah pengusaha.

''Para pelancong berpeluang untuk berinteraksi serta mengalami gaya hidup seharian masyarakat kampung dan kebudayaan mereka atau yang berunsurkan pengalaman,'' katanya.

Tambah beliau, sebagai satu produk di bawah Kementerian Pelancongan, peserta didedahkan dengan pelbagai kursus pengendalian.

''Program yang dilaksanakan itu akan dipantau dan prasarana turut dibantu bagi memastikan keselesaan kepada pelancong dan pengusaha turut menjalani pelbagai kursus,'' katanya.

Menurut Ahmad Fathil, pengusaha inap desa juga digalakkan mempunyai persatuan di peringkat negeri untuk memudahkan aktiviti penyelarasan dan diberi bantuan pengurusan pentadbiran.

Bagaimanapun katanya, pada masa ini, banyak pengusaha yang menyediakan kemudahan rumah sewa atau penginapan menggunakan istilah inap desa.

Katanya, ia menimbulkan kekeliruan di kalangan pelancong kerana inap desa di bawah Kementerian Pelancongan adalah konsep yang berbeza dengan rumah sewa atau penginapan.

Menurut beliau, masalah tersebut telah dibincangkan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan di kalangan pelancong.

Beliau berkata, sehingga kini, Terengganu mempunyai enam program inap desa berdaftar dengan Kementerian Pelancongan yang membabitkan 96 buah rumah.

Katanya, dua di Kuala Terengganu adalah Homestay Teluk Ketapang (31 buah rumah) dan Homestay Pulau Duyung (enam buah), Homestay Kampung Raja, Dungun (26 buah), Homestay Kampung Rhu Sepuluh, Setiu (17 buah) , Homestay Kampung Buluh, Hulu Terengganu (10 buah) Homestay Felda Selasih, Jertih, Besut (17 buah).

No comments:

Post a Comment