Pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta memantau dengan lebih serius penyalahgunaan nama homestay dalam kalangan pengusaha rumah tumpangan bagi memastikan pelancong tidak terkeliru dengan konsep sebenar perusahaan inap desa berkenaan.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri berkata, kebanyakan pengusaha rumah tumpangan masih terkeliru dengan penggunaan sebenar homestay dan atas sebab itu mereka dilihat sewenang-wenangnya menggunakan perkataan itu pada perusahaan mereka.
“Sehubungan itu, pihak berkenaan perlu tampil dengan kaedah terbaik untuk memberi penerangan dan kefahaman secara jelas kepada masyarakat agar masalah ini tidak mengelirukan pelancong yang datang.
“Ini sebab, konsep sebenar homestay adalah pelancong akan tinggal bersama dengan pemilik rumah, sebaliknya rumah tumpangan yang sedia ada hari ini terpesong jauh daripada konsep sebenar homestay,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama warga Terengganu Fm dan pemimpin Kuala Nerus di Laman Budaya, di Teluk Ketapang.
Dalam perkembangan lain, beliau turut memuji kesungguhan Persatuan Homestay Teluk Ketapang yang begitu komited untuk mempromosikan perusahaan berkenaan hingga dikenali bukan sahaja di dalam negara, tetapi juga di luar negara.
“Kejayaan yang dicapai hari ini tidak berjaya direalisasikan tanpa sokongan dan kerjasama berterusan oleh peserta yang terlibat dan saya berharap lebih ramai menjadi sebagai ahli pada masa akan datang,” katanya.
Beliau yang juga penaung persatuan itu meminta keahlian seramai 32 keluarga direkodkan buat masa ini akan bertambah, memandangkan perusahaan ini peluang paling mudah untuk menjana pendapatan tambahan.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment