Sunday, September 12, 2010

Perlu RM500 Juta Untuk Baiki 567 Premis Sekolah

Kementerian Pelajaran memerlukan peruntukan sebanyak RM500 juta bagi membaik pulih enam peratus atau 567 daripada 9,462 premis sekolah kebangsaan, rumah guru dan asrama desa di seluruh negara yang dikategorikan sebagai amat 'kritikal'.

Timbalan Menterinya Dr Mohd Puad Zarkashi berkata sebahagian besar daripada premis berkenaan adalah di pedalaman Sarawak dan Sabah, manakala sebahagian lagi di Pahang dan Kelantan.

"Kita telah pun mengemukakan permohonan kepada kerajaan untuk mendapatkan peruntukan itu yang akan dimasukan dalam Rancangan Malaysia Ke-10," katanya pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, di Pagoh, semalam.

Dalam pada itu katanya, kementerian tersebut menerima peruntukan ihsan sebanyak RM50 juta daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk membaik pulih asrama desa.

Katanya daripada jumlah itu, sebanyak RM20 juta masing-masing diperuntukkan bagi Sabah dan Sarawak, manakala baki RM10 juta diguna untuk membaik pulih asrama desa di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

No comments:

Post a Comment