Thursday, September 16, 2010

Piala Monsun Bakal Jadi Penentu

Richard (kiri) kini hanya dipisahkan 17 mata dengan Minoprio untuk merangkul gelaran keseluruhan pada musim ini.

Segala-galanya bakal ditentukan di Piala Monsun, Kuala Terengganu akhir November ini dengan sekurang-kurangnya tiga skipper memiliki peluang merangkul gelaran keseluruhan pada musim 2010 ini.

Pendahulu, Mathieu Richard kini tidak boleh duduk senang di tampuk selepas kejayaan juara bertahan, Adam Minoprio menjuarai Terbuka Denmark, kelmarin.

Dipisahkan hanya 17 mata, Minoprio berpeluang merapatkan kedudukan di Piala Emas Bermuda pada 4 sehingga 10 Oktober sebelum aksi beralih kepada acara penamat musim, Piala Monsun.

Mengingatkan kembali kejatuhan mendadak musim lalu, apabila pelayar kelahiran Perancis itu dilihat selesa memenangi lima perlumbaan pertama namun keciciran selepas kegagalannya di St Moritz dengan Richard gagal bangkit daripada kekecewaan itu untuk menamatkan 2009 di kedudukan kelima keseluruhan.

“Sudah tentu, kami mahu menang di sini, tetapi jika anda lihat sepanjang dua minggu, kami gembira dengan kemenangan dan tempat ketiga yang mengekalkan kami dalam pendahuluan gelaran keseluruhannya,” kata Richard yang menebus kegagalannya tahun lalu untuk meraih gelaran Raja Bukit St Moritz dua minggu lalu.

Piala Monsun diletakkan kepentingan besar dalam Jelajah Match Racing Dunia dengan ia menawarkan jumlah mata yang besar buat juara, 37 berbanding 25 dalam acara lain, memberikan peluang buat mana-mana pelayar untuk merampas gelaran keseluruhan pada saat terakhir.

INFO
Kedudukan mata ISAF World Match Racing Tour 2010
(Selepas Peringkat 7 daripada 9)

1- Mathieu Richard (FRA)
French Match Racing Team 105 mata

2- Adam Minoprio (NZL)
ETNZ/BlackMatch Racing 88

3- Ian Williams (GBR)
Team GAC Pindar 76

4- Torvar Mirsky (AUS)
Mirsky Racing Team 72

5- Ben Ainslie (GBR)
TEAMORIGIN 63

Berita Harian

No comments:

Post a Comment