Sunday, September 12, 2010

Pusat Pengurusan Khas Untuk Kemudahan Saudara Baru

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) akan mewujudkan sebuah pusat pengurusan khas untuk kemudahan golongan saudara baru di negeri itu.

Yang Dipertua Maidam Datuk Mazlan Hashim berkata, Kompleks Darul Hidayah yang terletak di Jalan Sultan Omar, di Kuala Terengganu akan dinaik taraf untuk tujuan itu dengan peruntukan sebanyak RM14 juta.

Katanya pusat pengurusan khas itu akan dilengkapi beberapa kemudahan termasuk asrama lelaki dan wanita serta dewan kuliah dan latihan yang dijangka dibina dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

"Pembinaan asrama dan dewan kuliah itu ialah bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada saudara baru mengikuti kuliah dan latihan yang diadakan di kompleks berkenaan," katanya baru-baru ini.

Mazlan berkata, ketika ini terdapat seramai 1,875 orang saudara baru di seluruh Terengganu manakala jumlah yang memeluk agama Islam bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini ialah 73 orang iaitu purata 10 orang sebulan.

Katanya, menyedari keperluan pemantauan dan tumpuan agar saudara baru dapat menghayati ajaran Islam dengan sempurna, Maidam telah melaksanakan program seperti kelas bimbingan Fardu Ain setiap dua kali seminggu di lima lokasi yang berasingan.

Beliau berkata, setiap tahun Maidam menaja lima saudara baru mendalami pengetahuan agama secara formal di Institut Dakwah Islamiah Pengkalan Chepa, Kelantan dengan nilai tajaan RM10,000 seorang bagi tempoh setahun.

Selain itu, katanya, Maidam juga mengadakan beberapa program khas iaitu Kem Ramadan, kursus tilawah dan hafazan Al-Quran, azan serta kuiz untuk saudara baru.

Mazlan berkata, memandangkan saudara baru tertakluk kepada pembahagian zakat di bawah Asnaf Muaalaf, Maidam telah membelanjakan kira-kira RM1 juta sehingga pertengahan Ogos ini bagi tujuan itu.

Katanya perbelanjaan itu adalah untuk pembayaran bantuan kebajikan, bantuan modal, pembaikan rumah, bantuan kesihatan dan penyediaan kursus khas termasuk membiayai anak-anak ke institut pengajian tinggi awam dan swasta dan persekolahan.

No comments:

Post a Comment