Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) dan tiga institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan bakal mengorak langkah bagi menerokai penyelidikan saintifik dalam bidang genom, sains pertanian dan pemakanan melalui kerjasama akademik dengan dua universiti di Kanada.
Jalinan kepakaran dan kemahiran tenaga akademik itu akan direalisasikan melalui kerjasama projek 'Brain Gain' yang diadakan sempena lawatan kerja lapan hari Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin ke Montreal dan Toronto di Kanada bermula semalam (18 September).
Melalui lawatan itu, tiga perjanjian kerjasama (MoU) dijangka akan dimeterai antara McGill Universiti di Montreal dan Universiti Guelph di Toronto dengan tiga IPTA tempatan iaitu Universiti Sultan Zainal Abidin (UNIsZA), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk meningkatkan jalinan kerjasama dalam tiga bidang strategik berkenaan.
MoU itu antara lain membabitkan pertukaran tenaga akademik dan latihan program sarjana, doktor falsafah (PhD) dan pasca-kedoktoran serta latihan kakitangan makmal dan latihan pelajar IPTA tempatan dengan Universiti McGill dan Universiti Guelph.
Inisiatif lawatan tugas khas ini dipelopori dan dianjurkan oleh YDSM di mana Tuanku Mizan merupakan Pengerusinya. YDSM juga mendapat kerjasama Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dalam melaksanakan projek 'Brain Gain' Malaysia di mana YDSM adalah salah satu penerima geran projek berkenaan.
Menurut Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Datuk Prof Dr Makhdzir Mardan (gambar kiri), fokus kerjasama termasuk dalam bidang penyelidikan dan inovasi gen Biosteel Silk, pertanian persis dan teknologi makanan melalui program NASA Life Support System, Konsep Model Super Hospital dan Perkhidmatan Telemedicine yang mana terdapat di Universiti Guelph dan University McGill.
"Tujuan kita ialah untuk mendapatkan khidmat penempatan tenaga akademik dalam latihan dan kerjasama penyelidikan dalam teknologi dan konsep tersebut," katanya.
Menurut laporan Bernama, lawatan 'Brain Gain' itu juga adalah lanjutan dari lawatan balas oleh saintis dari Universiti McGill dan Universiti Guelph yang dilaksanakan pada awal tahun 2009 atas kelolaan YDSM dan anjuran ASM dan MOSTI.
Beliau berkata, manfaat utama jalinan kerjasama itu ialah peningkatan ilmu dan kepakaran untuk modal insan IPTA melalui program pertukaran tenaga akademik, pertukaran pelajar dan penyelidikan bersama.
"Pendedahan ini akan membuka ruang yang luas bagi peluang kerjasama dalam kemahiran-kemahiran yang dipilih iaitu pertanian, perubatan dan pemakanan. Cara ini akan dapat meningkatkan prestasi IPTA tempatan, khususnya di Terengganu dan pelbagai lagi," katanya.
Manakala pengibatan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan mengetuai rombongan itu pula akan memberikan penghormatan tinggi dari pihak universiti-universiti tersebut berdasarkan keperihatinan baginda dalam aspek mencari dan meningkatkan ilmu, katanya.
Dr Makhdzir berkata walaupun lawatan itu tidak akan dapat mengatasi masalah 'brain drain' dalam bidang-bidang fokus, tetapi lawatan 'brain gain' itu akan dapat memberikan fokus kepada kerjasama dalam bidang di mana entiti luar negara dapat berkongsi ilmu dengan saintis tempatan.
Menurut kenyataan media daripada Istana Negara, kerjasama teknikal dalam melatih sumber tenaga dan kerjasama saintifik akan dijalinkan dengan Pengarah Institut Penyelidikan University McGill, Dr Costas Karatzas dalam penyelidikan dan inovasi gen Biosteel Silk.
Dr Costas Karatzas adalah pemenang Top 50 Scientific American Awards 2003 atas penyelidikan beliau memindahkan gen sutera dari labah-labah dan dimuatkan ke dalam genome kambing bagi menghasilkan Biosteel Silk.
Biosteel Silk adalah bahan yang diperolehi dari susu kambing yang mendapat suntikan gen tersebut dari labah-labah bagi penghasilan sutera yang mana kekuatannya melampaui tujuh kali ganda besi keluli.
Gen Biosteel Silk jika berjaya dipindahkan ke genom pokok getah ia berpotensi menghasilkan Sutera Biosteel dari susu pokok getah.
Manakala pihak Universiti Guelph pula dikenal pasti mampu untuk bekerjasama dalam projek Biosteel Silk dan juga pertanian persis dan teknologi makanan melalui program NASA Life Support System.
No comments:
Post a Comment