Kegigihan menjaga keluarga agar kekal harmoni dan bahagia membolehkan sembilan keluarga menerima anugerah keluarga terbaik pada majlis Anugerah Keluarga Mithali 2010 Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap, semalam.
Anugerah Keluarga Terbilang bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap dimenangi Mohd. Yusof diikuti Mek Esah Seman, Abdul Rahman Sulaiman dan Nasir Muhammad (Keluarga Gemilang).
Sementara untuk Anugerah Keluarga Cemerlang pula dimenangi Abdullah Mat Amin, Abdul Fatah Abdul Ghani, Daud Mamat, Wan Ismail Wan Ibrahim dan Ismail Awang Ngah.
Kegembiraan jelas terpancar di wajah sembilan keluarga berkenaan yang komited mendidik anak-anak selain menjaga kesejahteraan keluarga masing-masing yang akhirnya mendapat pengiktirafan daripada Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu.
Majlis itu diadakan di Sutra Beach Resort & Spa dekat sini yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Asha'ari Idris.
Dalam pada itu, Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan Keluarga) YPK, Nazri Yusoff berkata, pelaksanaan program itu bertujuan memantapkan institusi keluarga.
"Sumbangan dan peranan ibu bapa dalam membentuk sesebuah keluarga bahagia dan harmoni perlu diberi perhatian.
"Keluarga mithali yang menerima anugerah kali ini dipilih berdasarkan kriteria yang ditetapkan termasuk dari segi penilaian prestasi, pendidikan, kejayaan anak-anak dan sumbangan keluarga terhadap masyarakat," katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain itu, katanya, kerajaan negeri melalui YPK mengaturkan program seumpama itu untuk mengiktiraf dan mengangkat martabat ibu bapa yang banyak melakukan pengorbanan dalam membentuk keluarga bahagia.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment