Pelayar muda dari Australia, David Gilmour yang juga anak kepada Datuk Peter Gilmour - juara dunia empat kali serta juara Piala Monsun dua kali - menduduki tangga teratas jumlah pungutan mata dengan 10 mata dalam Kejohanan Kapal Layar Satu Lawan Satu Asia yang masuk hari kedua di Pulau Duyong, Kuala Terengganu, semalam.
Jurumudi, David,19, dari Team Gilmour hanya mampu merakamkan dua kemenangan semalam dan tewas dua kali dalam saingan kedua dan perlu menang satu lagi, hari ini untuk layak ke peringkat separuh akhir.
David berkata, kekalahan kepada Reuben Corbett (Black Racing) dan Phil Robertson (WAKA Racing) kerana dia terlalu yakin mampu menewaskan lawan tetapi menerima padah.
“Saya mengakui kesilapan terlalu mudah pihak lawan adalah faktor utama kegagalan dalam dua pertemuan itu,” katanya.
David berazam menangi semua empat pusingan lagi, hari ini dan jika mampu berbuat demikian, ia adalah kejayaan bagi pasukannya untuk mencipta sejarah mewakili Asia pada Piala Monsun, Disember ini.
Phil Robertson yang mengumpul sembilan mata hasil dua kemenangan perlu dua kemenangan lagi untuk ke peringkat separuh akhir dan yakin mampu berbuat demikian.
“Saya bersama krew sudah bersedia bagi menghadapi pertembungan dalam empat pusingan lagi dan peluang untuk mencapai kemenangan adalah cerah,” katanya.
Hanya empat pasukan yang berjaya mengumpul mata terbanyak daripada sembilan pasukan sahaja mampu ke separuh akhir bagi merebut peluang ke perlawanan akhir, Khamis ini.
No comments:
Post a Comment