Wednesday, October 6, 2010

Pelajar Sudan Jalani Latihan Automotif di Terengganu

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kerajaan mengadakan kerjasama dengan kerajaan Sudan untuk melatih sekumpulan pelajar dari negara tersebut dalam bidang automotif di bawah Program Perbadanan Bantuan Teknikal Malaysia.

"Seramai tujuh orang pelajar Sudan buat masa sekarang sedang menjalani latihan di Pusat Giat Mara Batu Rakib, Terengganu untuk tempoh tujuh bulan di mana kesemua kos ditanggung oleh kerajaan kita," katanya.

Program ini merupakan kerjasama di antara Petronas dan MARA untuk melatih lebih banyak tenaga pekerja demi memenuhi keperluan gergasi minyak nasional tersebut di Sudan.

Pada yang sama, ia meningkatkan lagi pengalaman MARA di peringkat antarabangsa, tambah beliau.

Mengenai Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar yang bakal dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 15 Okt ini, beliau mampu menyediakan perancangan rapi untuk tempoh 10 tahun akan datang melibatkan kepentingan masyarakat luar bandar serta agensi-agensi kerajaan berkaitan.

Katanya, pelan induk itu bakal meningkatkan keberkesanan kegiatan ekonomi luar bandar apabila perancangannya menekankan kepada kemudahan prasarana dan memantapkan penyelarasan agansi-agensi di bawah kementeriannya.

"Pelan komprehensif ini dibina kerana kita lihat banyak program pembangunan luar bandar dibuat oleh agensi yang berlainan, tetapi mempunyai hala tuju yang seakan-akan sama, hingga wujud ruang pembaziran peruntukan.

"Kesannya, semua agensi yang terlibat dalam agenda ini akan diselaraskan dan dirangkumkan untuk mencapai sasaran meningkatkan mata pencarian golongan luar bandar," katanya selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri MARA di Kuala Lumpur semalam.

Mengenai pencapaian Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di bawah kementeriannya, beliau berkata pencapaiannya adalah mengikut jadual.

Mohd Shafie berkata antara kemajuan yang telah dicapai ialah pelaksanaan 178km jalan raya daripada 200km yang disasarkan di Sabah dan pembinaan 14,000 rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) berbanding 16,000 yang disasarkan tahun ini.

Di bawah NKRA luar bandar, terdapat empat NKRA kecil yang diberi fokus iaitu Jalan Perhubungan, Bekalan Air Luar Bandar, Bekalan Elektrik Luar Bandar dan Program Bantuan Rumah, melibatkan peruntukan terbesar kira-kira RM17 bilion.

Terdahulu di majlis berkenaan, MARA, antara agensi terbesar kementerian itu, menyampaikan Dana Akaun Amanah Baktidesa kepada 935 pelajar miskin dan miskin tegar Skim Bantuan Khas Pelajar Miskin Institusi Pendidikan Mara (IPMa), yang masing-masing menerima sebanyak RM500 seorang.

Pada majlis itu, Bank Islam Malaysia Berhad turut menyampaikan sumbangan zakat berjumlah RM250,000 kepada pelajar IPMa.

No comments:

Post a Comment