Monday, October 25, 2010

Penguatkuasaan Tegas Taman Laut Mulai 2011

Syariman Farid Abu Bakar memberi penerangan mengenai terumbu karang kepada pelajar (dari kiri) Khairrunissa Bashiron, Zafirah Yusra Zulkifli, Maohamad Hafizi Mazlan, Ayu Shuhara Mohd. Fauzi dan Muhd. Azhari A. Kamil dari Sekolah Menengah Sultanah Asma dan SMK Aman Jaya di Seminar Pemuliharaan Terumbu Karang di Alor Setar, semalam.

Penguatkuasaan tegas akan dilaksanakan mulai tahun depan oleh Jabatan Taman Laut Negara bagi melindungi terumbu karang yang merupakan khazanah tidak ternilai harganya.

Ketua Pengarah Taman Laut Malaysia, Dr. Sukarno Wagiman berkata, sebelum ini, penguatkuasaan taman laut dijalankan secara makro iaitu kesalahan umum seperti menangkap ikan atau melabuhkan sauh di atas terumbu karang.

Beliau berkata, sudah tiba masanya, penguatkuasaan secara mikro dilakukan seperti memijak atau mematahkan karang juga dikenakan tindakan kerana ia juga satu kesalahan mengikut undang-undang.

"Perbuatan seperti ini memerlukan anggota penguat kuasa kita menyelam ke dasar laut untuk mengesahkan bahawa kesalahan telah dilakukan," katanya pada sidang akhbar selepas perasmian Seminar Pemuliharaan Terumbu Karang 2010 di Alor Setar semalam.

Seminar anjuran Tourism Malaysia dan Jabatan Taman Laut Malaysia itu dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Promosi Domestik, Tourism Malaysia, Abdul Rahman Shaari.

Sukarno berkata, penguatkuasaan di taman laut dibuat mengikut Peraturan-peraturan Perikanan (Kawasan Larangan) yang digubal di bawah Akta Perikanan 1963.

"Penguatkuasaan peraturan itu sudah pun dibuat selama ini tetapi kali ini kita mahu ia dilakukan secara lebih teliti lagi untuk memastikan khazanah di taman laut sentiasa terpelihara," ujarnya.

Jelasnya, sebanyak 100 anggota penguat kuasa yang mempunyai kelayakan menyelam telah bersedia untuk melaksanakan tugas tersebut.

Pada masa ini, Malaysia mewartakan 42 taman laut dengan keluasan lebih 2,000 kilometer persegi yang terletak di Kedah, Terengganu, Pahang, Johor dan Labuan.

Tahun lalu, lebih setengah juta orang mengunjungi taman laut di negara ini dengan separuh daripadanya adalah pelancong tempatan.

No comments:

Post a Comment