Wednesday, November 10, 2010

25 Hingga 17 Jan Tarikh Bicara Kes Pemuda Bunuh Bapa

Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 25 hingga 27 Jan tahun depan, sebagai tarikh perbicaraan bagi kes seorang pemuda yang dituduh membunuh bapanya dalam kejadian di Kampung Pulau Duyong Besar pada 3 Feb lalu.

Dalam prosiding sebutan semula kes itu pada Rabu, mahkamah dimaklumkan hasil laporan perubatan daripada Hospital Permai, Johor Bharu mendapati tertuduh Shahrul Azmi Che Mat, 20, kini semakin beransur pulih dan layak untuk dibicarakan.

Timbalan Pendakwa Raya Zalina Awang memberitahu Hakim Datuk Abdul Rahim Muda, laporan itu juga mengesahkan tertuduh berada dalam keadaan kurang siuman semasa kejadian itu berlaku.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa membunuh ayahnya Che Mat Nik, 51, di rumah mereka di Kampung Duyung Besar, Kuala Terengganu kira-kira pukul 2 pagi pada 3 Feb lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh, dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Dalam kejadian itu, tertuduh dilaporkan menikam abangnya berusia 30 tahun dengan menggunakan sebilah pisau rambo ketika sedang tidur menyebabkan mangsa menjerit meminta pertolongan daripada ayahnya.

Che Mat yang terjaga daripada tidur dipercayai cuba merampas pisau daripada tertuduh, tetapi malangnya ditikam oleh suspek di bahagian perut dan meninggal dunia di tempat kejadian.

No comments:

Post a Comment