Wednesday, November 3, 2010

Asdi Umum Agihan Pendapatan 3.0 Sen Seunit

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said semalam mengumumkan agihan pendapatan Amanah Saham Darul Iman (ASDI) sebanyak 3.0 sen seunit bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Okt 2010.

Pengagihan bersih seunit itu melibatkan dana berjumlah RM12.23 juta.

"Jumlah pengagihan ini adalah lebih rendah sedikit berbanding 5.0 sen bersih seunit yang dibayar pada tahun lepas.

"Ini adalah kerana Pengurus mengambil kira keseimbangan antara agihan pendapatan dan juga perkembangan modal tabung, serta langkah mengurus risiko bagi mengekalkan pertumbuhan tabung ASDI pada tahun-tahun akan datang," katanya kepada Bernama, di Kuala Terengganu.

Selain daripada agihan pendapatan 3.0 seunit, pemegang unit juga menikmati peningkatan Nilai Aset Bersih (NAB) tabung sebanyak 4.65 sen seunit, katanya.

Ahmad berkata agihan pendapatan 3.0 sen seunit itu adalah pulangan 7.56 peratus sementara peningkatan NAB berjumlah 4.65 sen seunit ialah pulangan 11.73 peratus berdasarkan nilai NAB ASDI sebanyak RM0.3967 seunit pada awal tahun.

"Dengan ini, jumlah pulangan ASDI pada tahun ini ialah 19.29 peratus," jelasnya.

Menurutnya dengan pengagihan itu, jumlah pengagihan pendapatan yang telah dibuat oleh ASDI bagi tempoh 16 tahun semenjak ia beroperasi ialah 69 sen bersih seunit yang melibatkan pembayaran berjumlah RM298.33 juta.

Beliau berkata pada tahun ini ASDI telah mencatat keuntungan bersih selepas cukai sebanyak RM31.1 juta berbanding RM33.2 juta pada 2009.

Katanya NAB ASDI pada 29 Okt 2010 ialah RM192.8 juta bersamaan RM0.4732 seunit berbanding RM157.2 juta bersamaan RM0.3967 seunit pada awal tahun kewangan. Ini adalah peningkatan sebanyak RM35.6 juta atau 22.6 peratus.

Sebagai tabung yang berteraskan Syariah, FBMShariah adalah penanda aras yang sesuai dalam mengukur prestasi pencapaian ASDI.

"Dalam tempoh yang sama FBMShariah telah meningkat daripada 8,415.73 mata kepada 9,884.82 mata, iaitu peningkatan sebanyak 1,469.1 mata atau 17.5 peratus.

"Peningkatan sebanyak 22.6 peratus NAB ASDI berbanding FBMShariah 17.5 peratus menunjukkan bahawa pencapaian ASDI pada tahun ini adalah lebih baik berbanding pergerakan penanda aras pasaran," kata beliau.

Katanya pengumuman program transformasi ekonomi oleh kerajaan baru-baru ini dijangka memantapkan lagi pertumbuhan ekonomi, yang secara tidak langsung akan memberi prospek positif dalam sektor pelaburan.

Usaha kerajaan dalam mengenal pasti enjin-enjin pertumbuhan baru juga tentunya akan merangsang aktiviti ekonomi dan pelaburan yang berterusan dan akhirnya akan membawa manfaat menyeluruh kepada kesejahteraan rakyat, suasana pelaburan dan pasaran saham.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri mengalu-alukan penyertaan pelabur bumiputera di Malaysia sama ada individu atau korporat untuk melabur di dalam ASDI sebagai pelabur baru atau membuat pelaburan tambahan," katanya.

Tabung ASDI diurus oleh PTB Unit Trust Bhd, subsidiari milik penuh Permodalan Terengganu Berhad.

No comments:

Post a Comment