Songket, fabrik yang menjadi warisan unggul negeri akan terus diangkat martabatnya melalui Galeri Tuanku Nur Zahirah di Tanjung Bunut dekat sini yang dijangka mula beroperasi Januari tahun depan.
Galeri di kompleks dua tingkat yang dibangunkan dengan kos RM4.6 juta oleh Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu akan menjadi pusat pameran, demonstrasi, pembuatan, pemasaran dan penyelidikan pembangunan fabrik itu.
Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Azmi Razik berkata, kewujudan galeri itu akan membantu memberi nafas baru ke arah perkembangan perusahaan warisan itu dan meletakkannya ke tahap yang terbaik.
''Kompleks ini bertindak sebagai pusat inovasi yang berasaskan tradisi selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk membangunkan songket, agar ia boleh menembusi industri zon fesyen eksklusif,'' katanya pejabatnya baru-baru ini.
Katanya, kompleks yang dibina berasaskan senibina rumah tradisional Melayu Terengganu terletak di tepi sungai dan bakal menjadi 'penyambut tetamu' kuala Sungai Nerus apabila ia turut menjadi tarikan pelancong.
''Sebuah pelantar terapung sedang dibina pada jeti kompleks ini bagi memudahkan aktiviti keluar masuk bot serta bakal menjadi produk terbaru river cruise di Sungai Terengganu,'' ujarnya.
Jelasnya, kompleks itu akan diuruskan oleh anak syarikat YPU iaitu Terengganu Institute of Design Excellence (TIDE) dan turut menempatkan galeri songket milik Yayasan Tuanku Nur Zahirah serta beberapa pengusaha-pengusaha songket tempatan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TIDE, Prof. Madya Sulaiman Abdul Ghani berkata, galeri ini juga akan bertindak sebagai inkubator untuk membimbing tenaga muda dengan khidmat nasihat dalam aspek corak, reka bentuk dan fesyen songket.
''Songket perlu mengekalkan motif lamanya tetapi dengan kaedah tenunan yang baru supaya tradisi dan kontemporari dapat digabungkan untuk hasilkan inovasi songket yang bermutu dan menarik minat pasaran,'' jelasnya.
Katanya, pelbagai penyelidikan akan diperkemaskan seperti penggunaan benang, pewarna, mesin tenun dan kaedah penghasilan supaya para pengusaha songket di negeri ini dapat beralih dari industri desa kepada industri yang lebih kompetitif.
''Pihak kami berharap ia dapat memberi alternatif kepada pengusaha untuk menghasilkan produk yang mampu dimiliki oleh semua lapisan masyarakat ke arah membudayakan songket dan ia tidak menjadikan simbol status semata-mata,'' ujarnya.
Sulaiman berkata, walaupun pelbagai pembaharuan dilakukan ke atas 'ratu' tekstil Melayu ini, ia masih mengekalkan tradisi malah apa yang dihasilkan pada hari ini adakalanya lebih baik berbanding dahulu.
''Songket sekarang menggunakan pelbagai ketebalan benang berbanding dahulu yang menggunakan sejenis benang serta pelbagai warna yang kontemporari telah dihasilkan berbanding sebelum ini dengan warna yang gelap dan agak terhad,'' katanya.
Beliau tidak menafikan masih ada penenun yang mewarisi seni ini di bawah rumah dengan teknik penghasilan terdahulu, tetapi dengan kewujudan galeri itu ia mampu memberi khidmat nasihat, latihan, kursus untuk tempoh tertentu kepada golongan terbabit.
''Galeri ini diharap juga mampu menonjolkan negeri ini kepada para peserta Simposium Tekstil Tradisional ASEAN pada Mac tahun depan kerana Terengganu benar-benar menonjolkan kesungguhan untuk terus menyemarakkan seni warisan istana ini,'' ujarnya.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment