Monday, November 8, 2010

Hanya Mampu Selawat, Doa Berserah Kepada Tuhan...

Mangsa bot karam, Mohd Danial Aiman Mohd Zulkifli, 4, dibawa naik dari bot penyelamat untuk menerima rawatan awal sebelum dihantar ke hospital sebaik tiba di Pangkalan Marin Kemaman.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said semalam melawat kesemua mangsa yang kini dirawat di Hospital Daerah Kemaman.

"Mungkin disebabkan mereka dari Kuala Lumpur dan Selangor jadi tidak faham dengan keadaan cuaca di Terengganu iaitu pulau-pulau di negeri ini tidak sesuai dikunjungi pada musim tengkujuh kerana ombak besar dan angin kencang.

"Jadi saya menasihati mereka yang ingin datang ke pulau-pulau di Terengganu supaya menunda hasrat mereka sehingga musim tengkujuh berakhir," katanya.

Polis Terengganu turut meminta pengusaha bot pelancong di Terengganu supaya tidak membawa penumpang sepanjang musim tengkujuh memandangkan keadaan ombak besar dan laut bergelora.

Ketuanya Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata keadaan ombak sekarang tinggi dan menyebabkan penumpang terdedah kepada bahaya.

"Saya harap semua pengusaha bot pelancong dapat mengurangkan risiko keselamatan nyawa penumpang dengan tidak beroperasi dalam keadaan laut yang bergelora," katanya
mengulas mengenai kejadian itu.

Sepanjang 16 jam hanyut di lautan, kesemua penumpang bot yang karam di perairan Terengganu berhampiran Pulau Tenggol hanya mampu berdoa dan berselawat selain berserah kepada tuhan supaya mereka ditemui dalam keadaan selamat.

Pemandu bot, Zulfadly Yahya, 29, berkata dalam keadaan hujan dan kegelapan malam itu, mereka nyaris dilanggar beberapa kapal yang dipercayai tidak nampak mereka terapung di lautan.

"Sebaik menyedari bot akan karam, saya menyuruh mereka yang telah lengkap dengan jaket keselamatan terjun untuk mengelakkan kejadian yang lebih buruk.

“Selepas itu kami cuba berenang semula ke pulau tetapi gagal akibat ombak yang agak kuat. Apa yang boleh kami lakukan ialah pastikan kami tidak berpecah dan berada dalam keadaan berkumpulan untuk memudahkan pihak berkenaan mengesan kami," katanya ketika ditemui sejurus tiba di Pangkalan Marin Wilayah Tiga di Kemaman di Kemaman, semalam.

Menceritakan kembali kejadian yang berlaku semalam kepada Berita Harian, Zulfadly yang sudah 11 tahun bekerja sebagai pemandu bot, berkata dalam kejadian pada jam 6.45 petang itu bot jenis D-Guardian Katamaran itu mengalami kerosakan enjin selepas mengambil pelancong dari Pulau Tenggol.

"Saya cuba membawa bot berpatah balik, tetapi gagal sebab ombak agak kuat menyebabkan bot itu karam tetapi saya sempat hubungi majikan saya bagi memaklumkan kejadian itu," katanya.

Beliau berkata, sepanjang terapung di lautan dengan keadaan malam yang gelap dan hujan, ada di kalangan mereka yang disengat obor-obor, malah ada yang menangis terutama pelancong wanita.

Namun, mereka tidak putus asa dan sentiasa berselawat serta berdoa selain memberikan kata-kata semangat antara satu sama lain dan meminum air hujan bagi menghilang dahaga.

Azhar Ahmad, 40-an dari Kuala Lumpur pula berkata pengalaman sebagai penyelam profesional banyak membantu menyelamatkan keadaan walaupun ketika itu beliau terfikir kematian telah hampir dengan dirinya.

"Kami datang dari Kuala Lumpur seramai 10 orang, kebanyakannya penyelam bertauliah dan keadaan ini membantu kami agar tidak panik, namun apa yang kami risaukan ada di antara penumpang lain adalah kanak-kanak dan seorang wanita mengandung," katanya yang mempunyai dua tahun pengalaman menyelam.

Mazli Abd Malik, 33, dari Ampang berkata pada mulanya beliau risau jika mereka tidak ditemui oleh pasukan penyelamat.

"Sepanjang 16 jam kami terapung di laut dalam keadaan gelap, banyak kapal yang lalu, tetapi semuanya tidak nampak kami," katanya yang bekerja sebagai juruperunding.

Seorang lagi mangsa, Loo Kit Chong berkata semasa saat-saat cemas sebelum bot itu karam, mereka cuba membuang air dari dalam bot setelah dimaklumkan bot yang mereka naiki mengalami kerosakan.

"Namun tidak sempat sampai daratan bot itu tenggelam, menyebabkan kami terpaksa terjun. Semasa hanyut, kami beberapa kali nampak daratan dan cuba berenang, namun gagal sebab ombak kuat.

"Jadi kami ambil keputusan untuk membiarkan diri kami hanyut sahaja untuk menjimatkan tenaga sebelum ditemui oleh pasukan penyelamat," katanya.

Tiga mangsa yang dilaporkan kritikal sebelum ini iaitu seorang kanak-kanak Mohd Danial Aiman Mohd Zulkifli, 4, ibunya yang mengandung empat bulan Noraini Sosilawati, 33, dan Mohd Azharini Mohd Amin kini berada dalam keadaan stabil.

1 comment:

  1. Semoga Allah memberi rahmat keselamatan dan kesihatan bagi mereka.Ingat..lening org dok gi maing lauq..ujang lebak anging pung kuat..ombok besor..natti pah musing ujang sidang kekgi baru kita pakak gi rama-rama..

    ReplyDelete