Monday, November 22, 2010

Kastam Jamin Mampu Kawal Kawasan Bebas Cukai Tasik Kenyir

Datuk Aziz (berbaju kuning) ketika meninjau Tasek Kenyir bersama-sama Menteri Besar baru-baru ini.

Kastam Diraja Malaysia (KDRM) akan menempatkan antara 45 dan 50 anggotanya di kawasan bebas cukai Tasik Kenyir apabila kawasan bebas cukai itu mula beroperasi pada Ogos 2012 nanti.

Pengarah KDRM Negeri Terengganu, Datuk Azis Yaacob berkata, penempatan anggota itu adalah bagi kerja-kerja percukaian dan segala urusan berkaitan di kawasan berkenaan.

"Kastam juga akan menempatkan tiga buah bot laju bagi meronda kawasan-kawasan difikirkan berisiko iaitu jika ada ruang-ruang penyeludupan di dalam tasik seluas 65,417 hektar itu.

"Kita jamin kebocoran hasil negara tidak akan berlaku di kawasan bebas cukai Tasik Kenyir kerana kita juga akan membina pagar di tempat-tempat tertentu di kawasan berkenaan bagi memastikan tiada ruang untuk menyeludup," katanya.

Beliau berkata demikian selepas memberi taklimat Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir bersama pemimpin masyarakat kawasan Hulu Terengganu kelmarin yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Azis berkata, kewujudan zon bebas cukai di Tasik Kenyir adalah unik dan merupakan yang pertama seumpamanya di negara ini dan yang kedua di dunia selepas Amerika Selatan kerana ia terletak di dalam tasik.

Katanya, sehingga ini Malaysia mempunyai lima kawasan zon bebas cukai iaitu di Setulang Laut, Pulau Tioman di Johor, Pulau Langkawi (Kedah), Pengkalan Kubur dan Rantau Panjang (Kelantan).

"Tetapi zon bebas cukai di Tasik Kenyir adalah yang paling unik dan istimewa kerana ia terletak di dalam tasik. Istimewanya kerana kita berbelanja di situ, duit tidak mengalir keluar dan tidak terlibat dengan pertukaran wang asing," katanya.

Azis juga mencadangkan agar kerajaan membina satu pusat latihan Kastam untuk zon timur di Tasik Kenyir dan mewujudkan lapang sasar kerana Kastam terlibat dengan penggunaan senjata api.

Katanya, pada masa ini Kastam mempunyai pusat latihan di Melaka, Sabah, Sarawak, Kelantan dan Langkawi.

"Jadi kita mohon sebuah pusat latihan atau pusat latihan penguat kuasa diwujudkan di kawasan bebas cukai Tasik Kenyir," katanya.

No comments:

Post a Comment