Biarpun puluhan tahun sudah bergelumang dengan najis dadah, namun ia tidak menghalang niat suci seorang bapa kepada dua anak untuk kembali ke pangkal jalan setelah insaf dengan perbuatan terkutuk yang dilakukan itu dengan menyerah diri kepada pihak polis.
Dia yang mula terjebak dengan penyalahgunaan dadah sejak usia remaja lagi mengakui sudah terlanjur, namun pintu taubat masih terbuka untuknya menyebabkan dia nekad kembali ke jalan benar setelah lebih 30 tahun menjadi hamba dadah.
Bapa kepada dua anak itu berkata, sejak dia terjebak dengan najis dadah pada lewat tahun 80-an, dia sudah membelanjakan hampir RM100,000 untuk membeli bahan terlarang itu.
Lelaki berasal dari Kampung Kuala Jengai, Hulu Dungun itu berkata, akibat ketagihan dadah, dia sanggup menjual kerbau peliharaannya, duit diperoleh akan dibelanjakan untuk mendapatkan bekalan dadah daripada pengedar tempatan.
“Adakalanya saya membelanjakan antara RM300 hingga RM500 sehari untuk membeli dadah, seekor demi seekor kerbau saya jual semata-mata untuk mendapatkan wang beli dadah.
“Duit hasil jualan kerbau kadangkala habis dalam masa seminggu sahaja, tak cukup kerbau, tanah kebun pun saya jual,” katanya yang kini penagih tegar dadah jenis morfin.
Ketika ditanya adakah keluarganya mengetahui tabiat buruknya itu, lelaki terbabit yang hanya ingin dikenal sebagai Ku berkata semua ahli keluarganya tahu masalahnya, namun mereka tidak ambil tahu kerana dia tidak menyusahkan mereka untuk mendapatkan wang bagi membeli dadah.
Katanya, jika keadaan terdesak, dia sanggup menjadikan bilik tidurnya sebagai port tidak rasmi untuk melepaskan gian, biarpun menyedari perbuatan itu memberikan gambaran tidak baik untuk ahli keluarganya.
“Nak buat macam mana, kalau dah gian, dalam bilik pun saya cucuk. Kalau tak cucuk, saya tak boleh kerja, perasaan pun tak tenteram,” katanya.
Menurut lelaki berusia 39 tahun itu, beberapa hari sebelum menyerah diri kepada polis, hatinya terdetik untuk melakukan sesuatu agar kehidupannya lebih bermakna.
Katanya, sebelum ini, dia pernah beberapa kali berhasrat untuk meninggalkan tabiat itu, namun gagal berikutan pengaruh kuat daripada rakan yang juga penagih.
“Pada suatu malam, ketika ingin melelapkan mata, hati saya seolah-olah didatangi suara halus mengarahkan agar meninggalkan benda itu.
“Sejurus kemudian, badan saya berpeluh, tiba-tiba saya mengingatkan saat kematian, ketika itulah saya bertaubat dan nekad tidak akan me-ngulanginya lagi, biarpun ia sudah menjadi darah daging saya sejak sekian lama,” katanya yang juga seorang pengembala kerbau.
Menurutnya, tindakan itu dilakukan demi masa depan keluarganya dan tidak ingin harta pusaka yang dimilkinya habis akibat tabiat bodoh yang dilakukannya.
Ku datang menyerah diri kepada pihak polis dan meminta pihak berkuasa itu menghantarnya ke pusat pemulihan bagi menjalani rawatan.
Dia yang sebelum ini pernah beberapa kali ditahan polis setelah menjalani ujian air kencing didapati positif dadah dan kini disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagihan Dadah Rawatan dan Pemulihan.
Ketua Polis Daerah, Superinten-dan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kes terbabit.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment