Wednesday, November 10, 2010

MB - Pengerusi JKKK Cuai Digugur

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang tidak memberi perkhidmatan terbaik akan digugurkan daripada terus memegang jawatan itu walaupun akan berlaku usaha bagi mempertahankan jawatan berikutan kenaikan elaun seperti diumumkan dalam Bajet 2011.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata kerajaan negeri mempunyai kaedah tertentu untuk membuat penilaian prestasi dan peranan pengerusi JKKK sebelum kontrak jawatan tertinggi di peringkat kampung itu disambung.

Beliau berkata, semua Pengerusi JKKK harus sedar sejauh manakah peranan dan tanggungjawab dimainkan sepanjang memegang jawatan itu dan ketua cawangan UMNO tidak semestinya dipilih secara automatik memegang jawatan berkenaan.

"Kita mengakui akan berlaku perebutan untuk mempertahankan jawatan itu, terutamanya selepas kerajaan mengumumkan kenaikan elaun daripada RM450 kepada RM800 sebulan, tetapi kita ingin tegaskan bahawa kerajaan negeri mempunyai kaedah tertentu, termasuk membuat penilaian sebelum jawatan yang akan berakhir Disember ini disambung.

"Ada antara mereka yang sudah dilantik memegang jawatan itu mungkin digugurkan dan ada yang akan disambung, kita akan tengok prestasi sebelum penilaian dibuat, tetapi apa yang pasti sudah tentu berlaku perebutan jawatan kerana masing-masing ingin mengekalkan jawatan.

"Mereka yang berhajat mempertahankan jawatan perlu menilai dan muhasabah diri...adakah disebabkan elaun," katanya.

Ahmad Said berkata, rekod kecemerlangan tugas dilaksanakan sepanjang memegang jawatan itu akan dinilai sepenuhnya dan jika rekod tidak bagus, nama mereka akan digugurkan, kerajaan negeri mempunyai garis panduan sebelum membuat pelantikan.

Ketika mengulas prestasi sebahagian Pengerusi JKKK, Ahmad berkata, sebahagian daripada mereka sudah berubah dan sebahagian lagi masih berdegil.

No comments:

Post a Comment