Saturday, November 27, 2010

Nelayan Perlu Bijak Rancang Masa Depan

Sebahagian daripada nelayan seluruh Terengganu yang hadir pada majlis Menteri Besar berrsama Warga Nelayan di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. - Gambar oleh Syed Abdul Rahman.

Golongan nelayan di negeri ini terutama yang masih di kategorikan golongan miskin perlu mengurangkan sikap gemar bergantung kepada hasil laut sekiranya serius ingin menaiktaraf ekonomi keluarga.

Mereka perlu bijak merancang masa depan dengan mencari pekerjaan sampingan seperti berniaga kecil-kecilan dan bercucuk tanam. Pendekatan ini secara tidak langsung boleh menambah pendapatan sedia ada.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata kerajaan negeri prihatin dengan nasib golongan nelayan yang kebanyakan masih dikategorikan miskin.

Katanya, mereka yang miskin pendapatan mampu berubah kerana mempunyai sikap ingin berusaha bagi menambah pendapatan, jika sebaliknya iaitu miskin minda, cukup sukar untuk berbuat demikian.

“Kerajaan negeri cukup kesal dengan mereka yang miskin minda berikutan bertindak tanpa berfikir masa depan. Sekiranya bantuan seperti bot, enjin, pukat dan pelbagai kelengkapan bot lain dihulurkan kerajaan, mereka tanpa segan silu akan menjualnya bagi mendapat keuntungan segera.

“Mereka yang mempunyai sikap seperti ini tidak akan berubah sampai bila-bila, kerana bukan sahaja tidak mempunyai masa depan malah payah untuk berusaha, “ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Menteri Besar Bersama Warga Nelayan di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, petang kelmarin (25 November 2910).

Lebih 1,000 nelayan hadir di majlis itu bagi mendengar amanat Ahmad Said yang memberi pelbagai nasihat dan saranan supaya golongan dapat keluar daripada di belenggu kemiskinan.

Menteri Besar turut memberitahu, sikap gemar menambung dan tidak membazir juga perlu ada dalam diri masing-masing bagi mengelak kesuntukkan wang terutama di musim tengkujuh.

“Jika tiada duit simpanan, pelbagai masalah lain akan timbul termasuk terpaksa berhutang untuk membeli barangan keperluan harian dan perbelanjaan sekolah anak-anak,” katanya.

Unit Komunikasi Negeri

No comments:

Post a Comment