Thursday, November 11, 2010

Pelancongan - Terengganu Boleh Belajar Daripada Melaka

Tahniah Melaka. Ia kini bukan sahaja berstatus negeri maju tetapi mendahului Pulau Pinang dari segi menarik pelancong.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata Melaka yang telah mendahului Pulau Pinang sebagai destinasi tarikan pelancong terkemuka di negara ini akan terus memperkenalkan produk pelancongan baru khususnya yang melibatkan sejarah.

Rrekod menunjukkan bilangan pelancong yang melawat Melaka meningkat kepada 8.9 juta tahun lepas berbanding 7.8 juta pada 2008 manakala kehadiran pelancong ke Pulau Pinang, sebuah negeri yang mempunyai 191 penerbangan antarabangsa setiap minggu, hanya 5.5 juta orang tahun lepas.

Mohd Ali berkata Melaka akan terus mengorak langkah yang lebih hebat dalam sektor pelancongan.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen baru-baru ini berkata Pulau Pinang yang mempunyai pelbagai kemudahan dan tarikan pelancongan telah ketinggalan dalam sektor itu berbanding Melaka.

Mohd Ali berkata, antara faktor yang menjadikan Melaka sebuah destinasi pelancongan menarik ialah sejarah negeri itu, kebersihan bandar dan keramahan penduduknya.

Dalam konteks industri pelancongan ini, kebetulan ketika Terengganu sedang menjadikan industri ini sebagai agenda utama ekonomi negeri, wajar sekali kita mempelajari daripada Melaka memajukan pelancongan.

Lagipun, kerjasama Melaka dan Terengganu dalam banyak perkara begitu rapat sekali.

Ketika Mohd Ali menjalankan kempen Sukma ke 13 awal tahun ini di Kuala Terengganu, beliau turut menawarkan pelbagai kerjasama khususnya dalam industri pelancongan antara kedua-dua negeri.

Terengganu boleh mempelajari bagaimana Melaka menjaga kawasan dan bangunan sejarahnya, kebersihan bandar raya serta keramahan penduduknya sebagai tambah nilai kepada apa yang sudah ada di Terengganu.

Jika perkara itu dapat dipertingkatkan, Terengganu akan lebih terkenal di mata dunia kerana pulau, pantai, tasik bukit, sungai, budaya dan krafnya turut menjadi faktor penarik yang penting untuk pelancong dalam dan luar negara.

Dengan kata lain jika sasaran kedatangan pelancong ke Terengganu seramai empat juta tahun ini, ia mungkin akan bertambah lebih banyak jika kedua-dua negeri sama-sama mempromosikan industri pelancongan.

No comments:

Post a Comment