Seorang penjual kitab sambilan semalam dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan membunuh seorang warga emas setelah didapati berada dalam keadaan kurang siuman ketika melakukan perbuatan itu pada pertengahan tahun lepas.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Rahim Uda membuat keputusan itu selepas berpendapat pembelaan berjaya membuktikan bahawa Zulkifli Mamat, 43, dari Gong Limau, Kemaman di Kuala Terengganu, kurang siuman semasa membunuh Muda Mat, 79.
Dalam penghakimannya, Abdul Rahim berkata mahkamah mendapati Zulkifli bersalah di atas pertuduhan membunuh, namun keadaan mentalnya ketika itu tidak berupaya menilai bahawa perbuatan yang dilakukannya itu salah di sisi undang-undang.
Bagaimanapun, beliau memerintah tertuduh ditempatkan di Penjara Marang sementara menunggu arahan daripada Hospital Permai dan akan dibebaskan setelah mendapat perkenan Sultan Terengganu.
Zulkifli dituduh membunuh Muda di depan sebuah rumah separuh siap di tepi jalan Kampung Darat Penunjuk, Kijal Kemaman pada 6 petang, 12 Mei tahun lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.
Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Abdullah Mohamad memilih untuk berdiam diri ketika diperintah membela diri hari ini, sebelum memanggil Pakar Perunding Psikiatri Hospital Permai Johor Bharu Bari'ah Yahya memberi keterangan.
Bariah berkata mengikut rekod perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah dan Hospital Kemaman serta temuramah dengan keluarga tertuduh, beliau mendapati Zulkifli menghidap epilepsi atau sawan sejak kecil.
"Ekoran penyakit itu, tertuduh mengalami perubahan personaliti dan mudah marah serta bertindak agresif, walaupun hanya dengan provokasi kecil, tanpa dapat memikirkan apa yang dilakukan itu menyalahi undang-undang," katanya.
Beliau berkata Zulkifli juga dilaporkan pernah beberapa kali bertindak agresif terhadap anggota keluarganya serta pernah mengamuk di hospital hanya kerana lambat menunggu giliran.
Keadaan bertambah buruk sejak 10 tahun kebelakangan ini apabila tertuduh tidak lagi tinggal bersama keluarga, sebaliknya menumpang di surau dan menyebabkan pengambilan ubatnya tidak mengikut aturan.
Bariah berkata pembunuhan itu berlaku kerana Zulkifli tidak menerima rawatan sepatutnya dan dia perlu mendapatkan rawatan berterusan bagi mengelakkan kejadian itu daripada berulang.
No comments:
Post a Comment