Monday, November 29, 2010

Peserta Piala Monsun Mula Tiba Semalam

Adam Minoprio (kanan) bersama rakan sepasukannya dari pasukan Black Match Racing tiba di Hotel Felda Residence Kuala Terengganu, semalam sebagai persediaan untuk menyertai Piala Monsun, esok.

Peserta Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun mula tiba di Kuala Terengganu untuk menyertai kejohanan tersebut yang bermula di Pulau Duyong, hari ini.

Antara peserta berkenaan adalah juara bertahan, Adam Minoprio bersama anggota pasukannya, Black Match Racing, yang tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini kira-kira pukul 4.30 petang semalam.

Beliau kemudian bersama rakannya ke tempat penginapan mereka di Felda Residence Kuala Terengganu, di Kuala Terengganu.

Adam ketika ditemui berkata, beliau yakin dapat mempertahankan kejuaraannya, selain muncul juara Jelajah World Match Racing (WMRT) ISAF, yang kini didahului oleh pelayar Perancis, Mathieu Richard.

Beliau berkata, dia memiliki kelebihan di Pulau Duyong kerana mempunyai pengalaman belayar di kawasan perairan di sini sejak muncul juara Kejohanan Match Racing Asia (AMRC) pada 2006.

''Walaupun Mathieu mendahului dalam kedudukan WMRT ISAF, dia tidak pernah muncul sebagai juara Piala Monsun. Ini memberi kelebihan kepada kami berdasarkan pengalaman.

''Namun, saya tidak memandang rendah keupayaan para peserta lain kerana setiap peserta mempunyai kelebihan masing-masing," katanya yang mempunyai kumpulan 90 mata.

Adam berkata, beliau tidak mempunyai sebarang strategi khas untuk mempertahankan kejuaraannya, namun akan menggunakan segala kemahiran yang ada.

''Kita tidak dapat menduga apa yang akan berlaku ketika perlumbaan, namun kemahiran dan pengalaman akan membantu kami nanti," ujarnya.

Piala Monsun merupakan destinasi kesembilan dan terakhir bagi sirkit WMRT ISAF.

Sebanyak 12 peserta termasuk seorang pelayar Malaysia, Jeremy Koo akan berentap merebut kejuaraan tersebut.

No comments:

Post a Comment