Sunday, November 7, 2010

Piala Monsun 2010 Terbesar Dalam Sejarah

Pasukan Robertson dari New Zealand yang menang Kejohanan Asia dijangka turut memberi saingan sengit kali ini.

Berdasarkan pengalaman sejak julung kali Piala Monsun dipertandingkan lima tahun lalu, Pengurus Operasi T-Best Event, Muhamed Shafique Mohamed Iqbal, yakin perlumbaan tahun ini bakal menjadi acara terbesar dan mendebarkan sepanjang sejarah penganjurannya.

Shafique berkata, masih terdapat lima jurumudi yang memiliki peluang merangkul kejuaraan Dunia Match Racing dengan peminat kini menjangkakan perlumbaan sengit bakal berlangsung di Ri-Yaz Heritage Marina Resort dan Spa, Pulau Duyong, 30 November hingga 5 Disember ini.


Seramai 10 jurumudi menempah tiket ke Piala Monsun tahun ini iaitu juragan muda yang juga juara perlumbaan Kejuaraan Match Racing Malaysia (MMRC), Jeremy Koo (Koo Racing Team-Evernew), juara Kejuaraan Match Racing Asia (AMRC), Phil Robertson (WAKA Racing) selain Jesper Radich (Radich Racing), Francesco Bruni (Azzurra) dan Datuk Peter Gilmour (YANMAR Racing). Lima jurumudi Kejuaraan Jelajah Dunia Match Racing (WMRT) yang berpeluang meraih kejuaraan dunia pula ialah Mathieu Richard (French Match Racing), Adam Minoprio (ETNZ/Black Match Racing), Ben Ainslie (ORIGIN), Torvar Mirsky (Mirsky Racing) dan Ian Williams (GAC Pindar).

“Tahun lalu, seramai 101,794 peminat hadir menyaksikan Piala Monsun tetapi kali ini kami menjangkakan angka lebih tinggi,” kata Shafique.

“Karnival Monsun 7 Daerah juga berjalan dengan baik yang membantu kita mempromosi kejohanan ini dan membawanya lebih dekat kepada rakyat Terengganu.”

Sesi kelayakan terakhir Piala Monsun bagi melengkapkan 12 pelayar yang bakal mengambil bahagian dalam kejohanan yang menawarkan hadiah lumayan – RM1.47 juta ini akan dijalankan pada Piala Sunseeker Australia 24-27 November ini, selain pengumuman program wildcard.

No comments:

Post a Comment