Toh Chin Yaw (kiri) meninjau kesan hakisan tanah kesan pembinaan projek Taman Panorama Bukit Pak Apil, Kuala Terengganu, kelmarin.
Kerajaan negeri mengingatkan kontraktor Projek Taman Panorama Bukit Pak Apil dekat sini mengambil langkah segera mengatasi masalah aliran lumpur dan hakisan yang menjejaskan keselesaan penduduk di sekitar kaki bukit itu.
Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Toh Chin Yaw berkata, keadaan itu sudah berlarutan sekian lama dan dibimbangi akan turut mengancam keselamatan penduduk.
"Kontraktor perlu bertimbang rasa terhadap penduduk di sekitar Jalan Cherung Lanjut dan Batas Baru yang berdepan dengan masalah ekoran kerja pembinaan sudah memakan masa lebih dua tahun.
"Selepas hujan, penduduk berhadapan dengan becak dan limpahan air hujan berlumpur tetapi apabila cuaca kering mereka terpaksa pula menghadapi debu tanah yang kering di sekeliling rumah.
"Kesannya kini bukan sahaja menjejaskan alam sekitar malah turut mengakibatkan kejadian tanah runtuh sehinggakan sebahagian longkang di pinggir bukit dipenuhi pasir dan lumpur," ujarnya.
Beliau menyatakan demikian semasa meninjau kerja pembersihan runtuhan tanah dan lumpur oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di kaki bukit berkenaan, semalam.
Lokasi berkenaan juga turut menerima kunjungan mengejut Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said beberapa hari lalu.
Projek yang dianggarkan bernilai RM7.5 juta itu dibangunkan oleh Kementerian Pelancongan dan antara lain membabitkan pembinaan menara tinjau, restoran yang memuatkan 200 pengunjung, laluan pejalan kaki, taman bunga untuk riadah dan tandas awam.
Merujuk kepada papan tanda cadangan pembinaan berkenaan, projek pakej kedua yang dimulakan pada Ogos 2009 sepatutnya siap sepenuhnya pada Oktober lalu.
Bagaimanapun, Taman Panorama di lokasi yang membolehkan pengunjung menatap keseluruhan pemandangan pusat bandar raya ini dijangka siap awal tahun depan.
Menurutnya, sistem perparitan yang dibina dengan kos RM500,000 setahun lalu tidak dapat berfungsi dengan sempurna apabila ia turut ditimbus tanah dan lumpur.
"Ia menyebabkan air hujan dari bukit tersebut melimpah ke sebuah surau dan kediaman penduduk membabitkan Taman Terengganu, Taman Hock Kee Seng dan Wisma Ali Long di seberang jalan," katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar bimbang kemungkinan berlaku tanah runtuh dan menghempap perumahan serta surau berhampiran kerana aliran air dari bukit terlalu laju.
"Sebelum ini memang ada air dari bukit selepas hujan, tetapi ia bersih dan jernih sehingga kanak-kanak boleh mandi, tidaklah keruh dan berlumpur seperti sekarang.
"Saya sebagai wakil rakyat di kawasan ini sudah banyak kali menerima aduan yang sama daripada wakil penduduk. Mereka tidak menolak pembangunan, tetapi mengeluh bila projek ini akan siap," ujarnya.
No comments:
Post a Comment