Wednesday, November 3, 2010

Terengganu Bangunkan Kawasan Potensi Bersejarah

Kerajaan Terengganu melalui Muzium Negeri akan membangunkan semula kawasan yang berpotensi untuk dijadikan tempat bersejarah sebagai salah satu inisiatif memelihara warisan lama daripada terus ‘mati’ begitu sahaja.

Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Datuk Mazlan Ngah berkata, inisiatif yang dilakukan ini penting bagi mengelakkan tempat bersejarah hilang fungsi walaupun mempunyai kisah tersendiri.

“Kerajaan Negeri telah bersetuju membeli rumah warisan Haji Su yang terletak di Losong Haji Su dengan memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM2.8 juta.

“Peruntukan yang besar itu bertujuan melaksanakan kerja penilaian dan baik pulih rumah warisan kerana pada suatu ketika dahulu ia menjadi tempat pertemuan semasa kemerdekaan.

“Walaupun ramai yang melihat struktur rumah tersebut dari luar seolah-olah tidak menggambarkan tempat bersejarah namun nilai di dalam rumah itu yang mendorong Muzium Negeri memeliharanya bagi tatapan generasi akan datang,” katanya.

Menurutnya, selain rumah warisan Haji Su, Kerajaan Negeri juga berjaya membangunkan Pulau Bidong, Setiu sebagai tempat pelancongan satu hari ('one day trip') kepada pelancong.

“Setakat ini kerja naik taraf infrastruktur di situ telah dilaksanakan secara berperingkat dan alhamdulillah kemudahan jeti berjaya disiapkan seperti yang dijanjikan.

“Kita akan terus mengekalkan aset sejarah di situ bagi memastikan Pulau Bidong menjadi destinasi pilihan ramai selepas ini selain pulau lain di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian pameran haiwan berbisa di Kompleks Muzium Negeri, Bukit Losong, Kuala Terengganu.

No comments:

Post a Comment