Monday, November 8, 2010

Wan MS Norhafizi juara endurance Terengganu

Penunggang pasukan Tengku Mahkota Kelantan Endurance Team (TMKN Equestrian), Wan M.S. Norhafizi Wan M.S. Norzihan muncul juara edisi keempat kejohanan lumba kuda lasak antarabangsa, Piala Sultan Terengganu Endurance Challange, yang berakhir semalam.

Kejayaan pertama buat pemuda berusia 19 tahun itu, turut mencatat rekod kejohanan kategori 120 kilometer dengan catatan 6 jam 20 minit 23 saat.

Dalam pertandingan yang bermula kelmarin di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) Lembah Bidong, dekat sini, Norhafizi, yang menunggang kuda Nashaar/Anglo Arab Gelding, membawa pulang hadiah AS$10,000, beserta jam tangan dengan nilai yang sama.

Yang Dipertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, yang turut serta dalam cabaran itu, berkenaan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah.

Sebelum ini, Norhafizi pernah mengungguli Kejohanan Lumba Kuda Terbuka Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai dalam kategori 120km pada 2004 dan Karnival Kuda Terachi kategori 40km pada 2003.

Dia yang turut memperoleh tempat kedua dalam kejohanan Royal Kelantan Endurance Ride (2005) dan Melaka Grand International Ride (2008), berazam menjadikan kejayaan itu bagi membawa cabaran negara dalam kejohanan di luar negara.

Kejohanan kali ini mencatat rekod apabila 35 daripada 68 penunggang atau lebih 50 peratus berjaya menamatkan cabaran sejauh 120km yang membabitkan lima fasa.

Turut serta dalam cabaran kali ini ialah penunggang Australia, Korea, Jepun, Chile, Uruguay, Perancis, Amerika Syarikat, Singapura, India, Qatar, Bahrain, Indonesia, Thailand selain Malaysia.

Sementara itu, Ahmad Azura Abdul Ghani yang menunggang Idais Tobiha Gelding dari pasukan Endurance Terengganu (STET), mengungguli tempat kedua.

Dia menamatkan perlumbaan 6:20.41s, dan kuda Ahmad Azura dipilih anugerah sebagai 'kuda dalam keadaan terbaik.'

Datuk Mohd. Shuaib Ishak dari Ar-Raudhah Equine Centre (ketiga) menerima AS$5,000, Wan Mohd. Kamaluddin Wan Yussof juga dari STET (keempat) meraih AS$3,000 dan Sharuddin Datuk Abdullah (kelima) dengan hadiah AS$2,000.

No comments:

Post a Comment