Tuesday, November 30, 2010

Zairo Berpindah ke Pasukan T' Team

Skuad Terengganu yang sedang membuat persiapan untuk menghadapi Liga Malaysia musim depan dikejutkan apabila pemain tengahnya Zairo Anuar Zalani dikatakan akan berhijrah ke pasukan T' Team.

Yang Dipertua Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh berkata Zairo telah meminta agar beliau dilepaskan walaupun kontraknya masih berbaki setahun lagi bersama Terengganu.

"Kita difahamkan beliau (Zairo) mendapat tawaran gaji yang lebih baik daripada pasukan T'Team," katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Che Mat berkata Terengganu akan diperkuatkan oleh beberapa pemain berpengalaman dan juga bekas pemain kebangsaan tahun depan.

Antara pemain yang akan memperkuatkan pasukan Terengganu termasuk bekas pemain KL Plus yang berasal dari Sarawak, Reeshafiq Alwi.

Beliau berkata selain itu, bekas pemain Terengganu yang sebelum ini berhijrah ke pasukan T'Team pada tahun lepas, Ismail Faruqi akan kembali bersama Terengganu musim depan.

Katanya barisan pemain Terengganu tahun depan telah dikenal pasti dan senarainya akan diumumkan selepas kontrak pemain-pemain itu tamat.

Che Mat berkata Terengganu mengambil pemain baru yang berkebolehan untuk mengisi semua posisi daripada pasukan Perlis, Kuala Lumpur Plus, Sarawak, Pahang dan Kelantan.

"Prestasi pasukan Terengganu tahun depan dijangka lebih baik dan mampu mencabar pasukan-pasukan lain berbanding sebelum ini," katanya.

No comments:

Post a Comment