Thursday, December 23, 2010

343 pelajar Terengganu terima ARP

Seramai 343 pelajar dari seluruh negeri yang aktif dalam pelbagai gerak kerja mendapat pengiktirafan dengan menerima Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARP) peringkat negeri tahun ini.

Daripada jumlah itu, seramai 148 pelajar menerima pingat perak manakala selebihnya pingat gangsa yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat.

Ia disampaikan pada Majlis Penganugerahan dan Pentauliahan ARP peringkat negeri di Kuala Terengganu, semalam.

Ketika berucap merasmikan majlis itu, Rozi berkata, penganugerahan pingat itu dibuat berdasarkan peningkatan pencapaian golongan muda melalui empat komponen utama.

"Empat komponen utama yang dinilai untuk tujuan pentauliahan ialah penglibatan dalam program khidmat masyarakat, kemahiran serta kreativiti, rekreasi fizikal dan penjelajahan lasak yang bukan bersifat pertandingan.

"Ketika ini juga, seramai 15 peserta dari negeri ini sedang dinilai oleh pihak badan operasi ARP untuk dianugerahkan pingat emas yang mana pengiktirafan ini belum diperoleh oleh anak negeri," katanya pada majlis itu.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) negeri, Abd. Aziz Abd. Rahman dan Pegawai Rakan Muda JBS negeri, Rokiah Awang.

Penilaian kali ini melibatkan para pelajar dari enam buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin, SMK Seri Bukit Puteri (Besut), Asrama Yayasan Terengganu (Kemaman), SMK Ketengah Jaya (Dungun), SMK Merchang (Marang) dan SMK Saujana (Setiu).

Rozi yakin anugerah itu mampu menjadi perangsang ke arah melahirkan generasi muda yang berdisiplin, bermoral, penyayang, beretika dan progresif selain berupaya menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran negara.

"Pengiktirafan itu membuktikan nilai-nilai positif dan peribadi kental telah diterapkan sebagai persediaan untuk memimpin negara sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara yang dinamik.

"Diharapkan lebih banyak sekolah di negeri ini dapat mewujudkan program sebegini kerana pengiktirafannya bukan saja pada peringkat gangsa iaitu sekolah.

''Ia juga pada peringkat perak dan emas iaitu antarabangsa apabila mereka dinilai bersama remaja dari seluruh dunia," ujarnya.

Dalam pada itu, Abd. Aziz menjelaskan, ARP adalah anugerah berkembar yang mana penerimanya turut diberikan Anugerah Remaja Antarabangsa dikenali sebagai 'The Duke of Edinburgh Award For Young People' yang diperkenalkan pada 1956 di United Kingdom.

''Ia telah berkembang pesat di seluruh dunia dengan pelbagai nama seperti The President Award di Afrika Selatan, Young Canadian's Challenge di Kanada dan The National Youth Achievement Award di Singapura.

"Apabila diperkenalkan di negara ini, ia dikenali sebagai ARP dan Kementerian Belia dan Sukan bertindak sebagai badan berkuasa anugerah peringkat kebangsaan," jelasnya.

Tambah beliau, program ini adalah satu-satunya program yang mengiktiraf penglibatan golongan muda berusia 14 hingga 25 tahun tanpa mengira perbezaan jantina, agama, budaya mahupun kemampuan fizikal dan mental.

No comments:

Post a Comment