Thursday, December 23, 2010

461 Hektar Akan Diusahakan Dengan Tanaman Herba Di Terengganu

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah mendapat kelulusan bagi Terengganu membangunkan Taman Herba di kawasan seluas 461 hektar di Pasir Raja, Terengganu.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, kementerian induk bagi pelaksanaan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) untuk pertanian, kelmarin mengumumkan tanah itu akan diusahakan dengan tujuh jenis tanaman herba yang mendapat permintaan tinggi iaitu Tongkat Ali, Kacip Fatimah, Misai Kucing, Dukung Anak, Hempedu Bumi, kayu gaharu dan serai wangi.

Menurut kenyataan Unit Pengurusan Prestasi dan Penyampaian (Pemandu), Tongkat Ali dijangka menjana pendapatan tahunan tertinggi, dianggarkan RM225,000 setiap hektar diikuti Dukung Anak yang dijangka menjana anggaran RM136,500 setahun bagi setiap hektar.

Datuk Seri Noh Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata perdagangan global bagi produk semulajadi berjumlah RM777 bilion pada 2006 dan diunjurkan meningkat tiga kali ganda kepada lebih RM2 trilion menjelang 2020.

Beliau berkata projek itu yang akan mewujudkan 285 peluang kerja, merupakan langkah penting bagi memastikan kelestarian sumber bahan mentah dalam usaha Malaysia untuk menjadi peneraju dalam pengeluaran ubat-ubatan nutraseutikal dan botanikal.

ECERDC juga merancang untuk membangunkan dua lagi taman herba di Chegar Perah dan Rantau Manis, yang masing-masing dijadual dilaksanakan pada 2011 dan 2013.

"Permintaan global bagi produk pertanian berkembang pesat dan Malaysia boleh memanfaatkannya berikutan negara kaya dengan pelbagai tumbuh-tumbuhan semulajadi. Kami bercadang meningkatkan dua kali ganda sumbangan sektor pertanian terhadap Pendapatan Kasar Negara melalui peningkatan pengeluaran produk bernilai tinggi dan meningkatkan peratusan bahan mentah untuk dijadikan produk hiliran.

"Melalui infrastruktur, teknik pengurusan dan teknologi lebih baik, kami juga mensasarkan untuk meningkatkan produktiviti bagi membolehkan petani-petani turut serta dalam projek kami untuk menggandakan pendapatan bulanan mereka," kata Noh.

Menurut kenyataan itu, pasaran tahunan global bagi sarang burung (EBN) dianggarkan bernilai RM10.2 bilion, dengan Malaysia merupakan pengeluar kedua terbesar dengan anggaran nilai jualan RM1.5 bilion.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) juga akan mengeluarkan Garis Panduan Perusahaan Sarang Burung Malaysia (1GP) untuk orang awam minggu ini.

Ia meliputi Amalan Baik Penternakan Haiwan (GAHP MS 2273:2009) dan Amalan Baik Pengeluaran (GMP MS 2333:2010), kerana piawaian MALAYSIA STANDARD (MS) diiktiraf oleh negara-negara pengimport utama seperti China.

Menurut Pemandu, di bawah program perintis akuakultur sangkar bersepadu, 11 bidang berpotensi (marin dan air tawar) telah dikenal pasti, satu daripadanya ialah kultur sangkar air tawar di Tasik Temenggor, Perak.

Program usahasama antara Jabatan Pertanian dan Trapia Malaysia Sdn Bhd yang dikenali sebagai Program Pertanian Synergi telah diwujudkan dengan objektif melahirkan para usahawan baru dalam industri itu.

Trapia, dipilih sebagai syarikat induk untuk mengetuai Entry Point Project, sebuah syarikat usahasama antara syarikat tempatan dan syarikat Norway, Genomar.

Usahasama itu membolehkan perpindahan teknologi dari Norway ke Malaysia dan pada masa yang sama mewujudkan pasaran eksport yang ketika ini dianggarkan 7,500 tan metrik bagi isi ikan Genomar Supreme Tilapia bernilai RM32.25 juta setahun.

No comments:

Post a Comment