Celcom Axiata Berhad (Celcom) akan memberi tumpuan untuk meningkatkan penggunaan jalur lebar di kalangan penduduk, terutamanya di Pantai Timur pada tahun depan.
Naib Presiden Wilayah Timur Celcom Axiata Berhad Datuk Sulaiman Ahmad berkata sehingga kini terdapat kira-kira 150,000 pengguna aplikasi jalur lebar yang disediakan Celcom di Pantai Timur dan jumlahnya dijangka bertambah mendadak tahun depan.
Sehubungan itu, katanya, Celcom mengambil inisiatif berterusan meningkatkan kualiti dan perkhidmatan yang ditawarkan agar dapat dinikmati pelanggan dengan lebih sempurna.
"Apa yang Celcom lakukan selari dengan hasrat kerajaan yang mahu meningkatkan penggunaan jalur lebar di kalangan pelbagai lapisan masyarakat.
"Kita sedar dengan penggunaan jalur lebar di kalangan masyarakat, ia akan melahirkan masyarakat yang celik IT (teknologi maklumat), sekaligus membantu mempertingkatkan ekonomi mereka," katanya di Kuala Terengganu.
Sulaiman berkata, sehingga kini, sambutan terhadap variasi pakej jalur lebar yang ditawarkan untuk memenuhi keperluan pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat umur, amat memberangsangkan.
"Dari segi harga, ia kompetitif, berpatutan, pakej jalur lebar yang ditawarkan juga pelbagai, pelanggan boleh memilih sama ada pakej bulanan, mingguan dan pakej harian iaitu untuk kegunaan 24 jam dengan hanya RM5," katanya.
Menurutnya syarikat telekomunikasi itu merupakan yang pertama memperkenalkan pakej jalur lebar harian kepada pelanggan, yang mendapat sambutan menggalakkan terutama dari kalangan pelajar dan penuntut institusi pengajian tinggi.
Pada masa ini, katanya Celcom Axiata Berhad menerajui pasaran di tiga negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang, dengan penguasaan pasaran 52 peratus.
"Untuk tahun-tahun akan datang, kita akan terus pastikan penguasaan pasaran dikekalkan dengan produk berkualiti yang ditawarkan, selain dibantu rakan niaga yang ada di Pantai Timur," katanya.
Sulaiman berkata, pihaknya sedar untuk terus maju, khidmat yang ditawarkan perlu menepati kehendak pengguna terutama dari segi kualiti.
"Untuk itu, pihak kami sentiasa menjaga kualiti produk yang ditawarkan, liputan dan juga servis.
"Kami sentiasa mengambil inisiatif memperluaskan liputan di kawasan bandar, luar bandar, memasuki kawasan Felda dan kawasan perumahan," katanya.
No comments:
Post a Comment