Tuesday, December 7, 2010

Agensi Kerajaan Disaran Lantik Pegawai Perhubungan Raya Yang Benar-benar Mahir

Agensi-agensi kerajaan disaran melantik pegawai yang benar-benar mahir dan terlatih dalam bidang perhubungan raya untuk meningkatkan mutu perkhidmatan masing-masing.

Menyarankan demikian, Presiden Institut Perhubungan Raya Malaysia (IPRM) Prof Datuk Mohd Hamdan Adnan berkata, pada masa ini banyak agensi kerajaan menghadapi masalah kerana melantik pegawai yang tidak mahir dan terlatih dalam bidang tersebut.

Katanya, sehingga ini hanya 50 peratus pengamal Perhubungan Raya yang terlatih berkhidmat di jabatan-jabatan kerajaan berbanding swasta.

"Saya berpendapat pihak swasta kebanyakannya mengambil pegawai Perhubungan Raya yang terlatih dan mahir bagi meningkatkan organisasi tempat mereka bertugas.

"Ini kerana kepakaran pegawai Perhubungan Raya itu penting untuk mengelak organisasi mengalami kerugian," katanya kepada pemberita selepas program "Luncheon Talk: Akta Perhubungan Raya" anjuran Jabatan Penerangan di Kuala Terengganu, semalam.

Mohd Hamdan berkata, pengamal Perhubungan Raya penting memandangkan profesion ini telah meningkat dari segi amalan dan ilmunya.

Beliau berkata, sebanyak 12 univerisiti di negara ini telah menawarkan kursus di bidang Perhubungan Raya.

"Kita juga berharap Kolej Komuniti juga menawarkan Sijil atau Diploma Profesional Perhubungan Raya kerana semua bidang pekerjaan memerlukan Perhubungan Raya," katanya.

No comments:

Post a Comment