Wednesday, December 8, 2010

BERSYUKURLAH DENGAN KEPERIHATINAN MENTERI BESAR

Dalam apa juga isu di Terengganu, jika sering menuding jari kepada Menteri Besar, hanya telunjuk sahaja menghala kepada Ahmad Said – sedangkan empat jari lagi sebenarnya sedang menuding ke arah mereka. Mungkin kerana bimbang, takut dan risau tidak terpilih semula sebagai calon – salah sendiri kerana tidak berkhidmat untuk rakyat – segelintir ADUN ini asyik menyalahkan Menteri Besar.

Sambungan Entri Sesetengah ADUN BN Terengganu Tamak, Tidak Tahu Berterima Kasih? (Monday, December 6, 2010)



Melihat kepada apa yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Teganuku yakin mereka adalah kumpulan ADUN paling bertuah di negara ini.

Pertanyaan dan penyelidikan yang dibuat oleh Teganuku terhadap ADUN di negeri lain, termasuk di beberapa negeri yang disifatkan maju, mereka menerima antara RM400,000 hingga RM600,000 sahaja setahun.

Itupun peruntukan untuk Bantuan Am dan Bantuan Pembangunan. Sesetengahnya ia membabitkan peruntukan yang disalurkan oleh Kerajaan Pusat.

Bagi Pegawai Pembangunan DUN pula, mereka sewajarnya bekerja keras memenangkan kawasan mereka kerana mereka bergaji RM5,000 sebulan.

Jika dilihat kepada gaji berkenaan, tangga gaji asas ADUN rendah sedikit dan pastinya mereka juga wajar bersyukur.

Pada umumnya, perbelanjaan peruntukan untuk ADUN dan PPD di Terengganu sudah pasti bertambah dari tahun ke tahun kerana kenaikan jumlah dan jenis peruntukan yang disediakan.

Lihat Rajah di atas bagaimana perbezaan peruntukan perbelanjaan yang ketara sejak tiga tahun lepas membabitkan RM33.3 juta berbanding RM20.8 tahun lepas (2009) dan RM15.5 juta tahun 2008.

Selain itu pada pada entri lepas saya tidak menyebut mengenai peruntukan baru iaitu peruntukan untuk Jawatankuasa Kemajuan Agama Peringkat Daerah yang membabitkan RM50,000 bagi setiap DUN yang mula diperkenalkan tahun ini.

Keseluruhan peruntukan untuk tujuan ini membabitkan RM1.6 juta tahun ini.
Jadi, secara keseluruhannya bagi setiap ADUN dan PPD 2010, mereka menerima peruntukan berikut:

Keseluruhan Bantuan kepada ADUN untuk tahun ini jumlahnya ialah RM868,000. Jumlah ini tidak termasuk pelbagai bantuan segera, peruntukan pembangunan di luar jangkaan serta projek-projek tertentu yang diluluskan segera oleh Menteri Besar.

Banyak juga projek-projek tertentu yang diluluskan oleh Ahmad Said ketika melawat DUN berkenaan, selain peruntukan daripada kerajaan Pusat.

Selain itu, keperihatinan Ahmad Said terhadap Ahli Parlimen juga berbaloi untuk mereka apabila mendapat peruntukan daripada kerajaan negeri sebanyak RM200,000 setahun. Bagi Parlimen Kuala Terengganu, Pegawai Pembangunan Parlimen menerima RM400,000.

Exco juga mendapat peruntukan tambahan tahunan dalam bentuk Bantuan AM sebanyak RM400,000 setahun.

Persoalannya, apakah negeri lain menyediakan peruntukan seperti ini? Jawapnya tidak.
Tidakkah mereka bersyukur mempunyai Menteri Besar yang ‘bermurah hati’ dan ‘prihatin’ seperti ini?

Maka jika tidak juga ada projek atau pembangunan di kawasan DUN, ia bukan salah Menteri Besar.

Persoalan yang timbul kenapa peruntukan tidak dibelanjakan atau ke mana perbelanjaan itu dihalakan?

Hanya ADUN-ADUN yang boleh menjawab persoalan ini. Atau apabila tiba pilihan raya, rakyat yang akan menjawab bagi pihak ADUN berkenaan.

Itupun jika mereka terpilih lagi menjadi calon!

Mungkin dengan penjelasan Menteri Besar kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, tindakan segelintir ADUN yang membuat onar akan dapat dihentikan.

Soal penting ialah dalam apa juga isu di Terengganu, jika sering menuding jari kepada Menteri Besar, hanya telunjuk sahaja menghala kepada Ahmad Said – sedangkan empat jari lagi sebenarnya sedang menuding ke arah mereka.

Mungkin kerana bimbang, takut dan risau tidak terpilih – salah sendiri kerana tidak berkhidmat untuk rakyat – segelintir ADUN ini asyik menyalahkan Menteri Besar.

Mereka berbuat begitu untuk menutup kelemahan sendiri sedangkan hakikatnya mereka patut menilai diri sendiri sama ada sudah menunaikan amanah rakyat dan apakah mereka wajar dipilih semula sebagai calon.

No comments:

Post a Comment