Sekumpulan 10 nelayan laut dalam warga asing yang bekerja dengan pengusaha tempatan terapung empat jam di laut apabila bot mereka karam selepas dipukul ombak besar satu batu nautika dari pantai Pulau Tenggol, Dungun, semalam.
Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim 9 Kuala Terengganu, Kapten Maritim Adam Aziz, berkata dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, sembilan warga Thailand dan tekong warga Vietnam itu terpaksa terjun ke laut apabila mendapati bot tenggelam.
Ketika kejadian, laut bergelora dengan ombak setinggi tiga meter dan angin kencang. Kami menghantar tiga bot penyelamat selepas menerima maklumat mengenai kejadian itu,” katanya dalam kenyataan, semalam. Katanya, empat nelayan berkenaan berenang ke pantai Pulau Tenggol, manakala yang lain diselamatkan bot nelayan yang melalui kawasan itu.
"Semua mangsa berumur antara 23 hingga 41 tahun yang mempunyai dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah, selamat walaupun ada yang terapung di laut selama empat jam sebelum diselamatkan.
"Mereka kemudian dibawa ke jeti APMM Kuala Terengganu oleh sebuah bot penyelamat untuk diberi rawatan dan tindakan susulan," katanya.
Sehubungan itu, Adam berkata, pihaknya meminta semua bot nelayan mematuhi amaran cuaca dikeluarkan Jabatan Kaji Cuaca sepanjang musim tengkujuh ini bagi mengelak insiden tidak diingini.
No comments:
Post a Comment