Friday, December 24, 2010

Empat Balai Terima Anugerah Liga Balai

Empat buah balai polis di negeri ini dipilih untuk menerima Anugerah Liga Balai (BLT) sebagai pengiktirafan terhadap keberkesanan yang diambil untuk mengurangkan kadar kes jenayah.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, kesemua balai tersebut adalah tiga balai polis di daerah ini iaitu Balai Polis Cendering, Balai Polis Cabang Tiga dan Balai Polis Manir serta Balai Polis Chukai dalam daerah Kemaman.

"Kesemua balai ini dipilih berdasarkan kejayaannya mengurangkan kadar jenayah setempat seperti yang digariskan sebagai salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

"Semua pencapaian ini dinilai terus oleh pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui data kadar indeks jenayah yang dihubungkan secara langsung untuk tujuan pemantauan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di Kuala Terengganu, kelmarin.

Lawatan tersebut merupakan yang terakhir beliau ke semua IPD di negeri ini sebelum menamatkan tugasnya di negeri ini.

Majlis penyerahan tugas kepada penggantinya, Datuk Jamshah Mustapha akan dilakukan pada Isnin depan.

Tambah Mohd. Shukri, anugerah BLT yang hanya dimenangi oleh kira-kira 20 buah daripada 754 balai polis di seluruh negara disampaikan oleh Ketua Polis Negara di Kuala Lumpur semalam.

"Kemampuan memperoleh empat daripada 20 itu memperlihatkan prestasi yang cukup membanggakan warga polis seluruh negeri ini," jelasnya.

Katanya, IPD daerah ini pernah menjadi contoh terbaik dalam pengurusan keselamatan pilihan raya kecil pada tahun 2008 lalu di mana kaedah yang dilaksanakan menjadi contoh kepada IPD di negeri-negeri lain.

"Selain itu, ia telah mampu menurunkan kadar jenayah sebanyak 22.5 peratus berbanding tahun lalu di mana ia satu pencapaian yang besar memandangkan status daerah ini sebagai bandar raya.

"Pendekatan yang diambil pihak kami ialah mendekatkan diri dengan masyarakat setempat untuk membanteras jenayah termasuk di sekolah yang telah menampakkan hasil yang baik," katanya.

Sementara itu ujarnya, bangunan IPD daerah ini yang beroperasi sejak tahun 1960-an akan dinaik taraf dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) berdasarkan keperluan yang mendesak berikutan kepesatan daerah ini.

"Pembangunan itu meliputi pembinaan prasarana baru yang lebih selesa, penambahan kelengkapan logistik dan kekuatan anggota yang akan dikemas kini mengikut kapasiti penduduk," katanya.

No comments:

Post a Comment