Persatuan Pengguna Negeri Terengganu menyokong tindakan kerajaan menaikkan harga barang kawalan seperti minyak, diesel, gas asli cecair (LPG) dan gula sebagai langkah yang dilakukan kerajaan bagi mengurangkan subsidi yang ditanggung.
Pengerusinya, Mohd Zukee Mohd Ragam berkata, tujuan kenaikan harga barangan kawalan yang dilakukan kerajaan bertujuan menyelaraskan harga barangan dalam negara.
“Pada saya, tindakan ini adalah wajar kerana kerajaan telah menanggung terlalu banyak subsidi, dan kenaikan ini sedikit sebanyak dapat membantu kerajaan mengurangkan tanggungan subsidinya selain mengurangkan penyeludupan.
“Jika dilihat dari aspek jangka masa panjang, subsidi yang ditanggung oleh kerajaan boleh digunakan untuk kegunaan perkhidmatan lain antaranya dam bidang penyelidikan dan kesihatan termasuk pembinaan klinik serta hospital yang sememangnya lebih bermanfaat kepada rakyat,” katanya.
Menurutnya, dengan tindakan kenaikan harga barangan ini, harapannya supaya kerajaan boleh menjimatkan subsidi, mengurangkan subsidi dan apa yang penting, peniaga tidak mengambil kesempatan ini untuk menaikkan harga makanan serta minuman.
“Saya berharap peniaga tidak mengambil peluang ini dan menjadikannya alasan untuk menaikkan harga jualan secara melampau khususnya bagi barang-barang keperluan asas seperti gula," katanya.
Dalam pada itu, Zukee berpendapat, kenaikan ini juga secara tidak langsung bertepatan dengan misi kerajaan untuk mengurangkan penggunaan gula dalam makanan memandangkan peningkatan penyakit kencing manis dalam kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat dari sehari ke sehari.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment