Hasrat kerajaan negeri untuk melahirkan lebih ramai doktor di kalangan anak tempatan bakal tercapai apabila Royal College Surgeon of Ireland (RCSI) akan beroperasi di sini mulai tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari negeri ini yang berkelayakan dan memenuhi syarat akan dipilih untuk mengikuti pengajian di kolej perubatan itu.
"Mereka akan mengikuti pengajian selama tiga tahun pertama di kampus cawangannya yang kedua di negara ini sebelum menghabiskan masa pengajian dua tahun lagi di republik berkenaan.
"Kelebihannya di sini, kos pengajian dapat dijimatkan sehingga RM500,000 berbanding kos keseluruhan sebanyak RM1.5 juta jika pengajian selama lima tahun dibuat sepenuhnya di negara tersebut," katanya dihubungi Utusan Malaysia di Kuala Terengganu, Jumaat (17 Disember 2010).
Tambah Ahmad Razif lagi, kursus 'tiga campur dua' itu bermakna para pelajar akan mengikuti pengajian selama tiga tahun di negeri ini diikuti dua tahun lagi di kampus induknya di Ireland.
"Kursus perubatan ini dibuka kepada pelajar seluruh Malaysia yang layak dan berminat, manakala Terengganu menetapkan penampungan 50 pelajar negeri ini di kampus cawangannya di sini setiap tahun.
''Ia diharap mampu menjayakan hasrat kerajaan negeri untuk membolehkan doktor wanita hanya merawat pesakit wanita dan doktor lelaki untuk pesakit lelaki pada masa depan," katanya.
Katanya, bagi mengurangkan kos penghantaran pelajar di negara-negara yang menjadi tumpuan selama ini, kerajaan negeri akan berusaha mencari destinasi baru.
"Untuk tujuan itu, kerajaan negeri akan menghantar wakil ke Republik Czech tidak lama lagi untuk menandatangani perjanjian dalam bidang pengajian perubatan dengan Universiti Charles.
"Sebelum ini, kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu telah melaksanakan perjanjian yang sama dengan Akademi Perubatan Moscow (MMA) dan Universiti Perubatan Volvograd di Rusia," ujarnya lagi.
No comments:
Post a Comment