Sunday, December 19, 2010

Mat Rempit - Terengganu Menongkah Arus?


Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (dua dari kiri), Rozi (dua dari kanan) dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Badrul Hisham Zaki (kanan) pada majlis perasmian program Juara Rakyat Parlimen Kuala Terengganu.

Ketika banyak pihak mencemuh mat rempit atau samseng jalanan yang rata-rata membabitkan kumpulan remaja yang sering dituduh mengganggu ketenteraman masyarakat, Kerajaan Terengganu menongkah arus dengan mengangkat martabat golongan itu.

Inisiatif ini dilakukan bersandarkan keyakinan mat rempit atau samseng jalanan mampu diubah untuk menjadi kumpulan yang mampu memberi nilai tersendiri kepada masyarakat.

Sudah pasti, melalui usaha ini, kumpulan mat rempit atau samseng jalanan di Terengganu dilihat bertuah dan dicemburui. Ini kerana kerajaan negeri menzahirkan keprihatinan yang tinggi untuk melihat golongan itu menyumbang sesuatu yang lebih positif - umpamanya dalam sukan permotoran, kerja amal dan kebajikan atau pembangunan ekonomi.

Merintis penubuhan Kelab Motosikal Terengganu (KMT) dengan matlamat menghimpunkan mat rempit dalam kumpulan besar, tidak dinafikan mungkin ramai skeptikal dengan usaha mewujudkan kelab permotoran ini. Mungkin ada yang menganggap usaha ini hanya akan memburukkan lagi fenomena lumba haram - apatah lagi Terengganu dilihat antara negeri penyandang rekod paling parah dalam gejala ini.

Menjelaskan relevan KMT dalam membanteras gejala mat rempit dan samseng jalanan, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat, berkata kerajaan negeri sedar sindrom negatif yang menjangkiti remaja di Terengganu makin serius serta memerlukan perhatian padu untuk menanganinya, sekali gus memastikan golongan ini tidak terus hanyut memburu keseronokan berlumba haram.

Rozi berkata, KMT yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini pada Himpunan Remaja Terengganu 2010 di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu disasarkan menarik sehingga 32,000 keahlian dengan pecahan 1,000 keahlian di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus menjadikannya kelab permotoran terbesar di Malaysia.

"Penubuhan KMT menunjukkan kerajaan negeri prihatin terhadap golongan ini. Kita tahu sebahagian besar mat rempit dan samseng jalanan ini adalah remaja yang bakal menjadi pelapis masa depan negara. Kita mahu membantu mereka menjadi individu yang lebih baik dengan meninggalkan gejala tidak sihat dan bersama-sama dengan kita menjayakan pelbagai aktiviti yang dirancang untuk mereka.

"Kita mahu remaja ini tahu, kita mengiktiraf mereka dan sedar apa yang mereka inginkan. Kita tidak sisih dan pinggirkan mereka, sebaliknya kita sokong minat mereka. Orang muda ini suka berkumpulan, jadi kita kena wujudkan satu kumpulan yang mereka suka, yang boleh pandu mereka ke jalan yang betul dengan melakukan aktiviti sihat, tanpa perlu meninggalkan minat mereka.

"Sebab itu kita tubuhkan KMT supaya kita dapat kumpulkan semua mereka ini dalam satu kumpulan dan memudahkan mesej menembusi golongan sasar. Kita akan bincang dengan mereka aktiviti yang sesuai dan kita akan lihat apa yang mereka mahu dan apa yang mereka perlu kita sediakan," katanya.

Rozi berkata, penyertaan KMT dibuka kepada remaja seawal usia 16 tahun hingga belia 30 tahun dengan syarat utama, mereka perlu memiliki lesen memandu sebagai mematuhi peruntukan undang-undang untuk membolehkan mereka menyertai pelbagai aktiviti dan program permotoran yang dirancang.

"Apa yang kita harapkan, usaha kita menubuhkan KMT ini tidak hanya dapat mengurangkan masalah lumba haram di kalangan mat rempit dan samseng jalanan, tetapi juga dapat melahirkan jaguh sukan permotoran yang boleh mengharumkan nama Terengganu dalam arena sukan umpamanya,” katanya.

Rozi yang juga Pengerusi Gerakan Belia 4B Terengganu berkata, kerajaan negeri merangka pelbagai aktiviti dan program untuk remaja di negeri ini dan Festival Remaja Terengganu 2010 yang dilengkapkan dengan pelbagai pengisian bermanfaat adalah antara bukti komitmen padu kerajaan negeri dalam mengiktiraf golongan berkenaan.

"Pelbagai pengisian yang diatur sempena festival bermula Jumaat dan Sabtu ini. Antaranya forum perdana dan sukan malam membabitkan pelbagai acara seperti bola sepak jalanan dan bola jaring; pertunjukan belon udara; kereta kawalan jauh; pameran kereta; ekspo peluang kerjaya dan pendidikan serta persembahan artis popular seperti Akim AF, Elyana, Nadia AF, Mus May, Azlan and the Typewriter, Dafi dan Jamal Abdillah.

"Kita juga menjemput Zizan dan Along Raja Lawak serta Didie Alias sebagai pengacara yang akan turut menghiburkan pengunjung. Kita berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana sudi turun untuk melancarkan penubuhan KMT dan perasmian himpunan terbesar ini.

"Kehadiran Perdana Menteri membuktikan pucuk pimpinan negara cakna dan prihatin dengan golongan muda, sekali gus mengiktiraf peranan mereka sebagai generasi pemimpin pelapis. Sehubungan itu, kita mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk memeriahkan Himpunan Remaja Terengganu ini," katanya.

Berita Harian (18 Dis 2010)

No comments:

Post a Comment