Monday, December 13, 2010

Mayat Terakhir Tragedi Pantai Pandak Ditemui Semalam

Anggota Bomba dan Penyelamat mengangkat mayat mangsa lemas, A Vijaykumar, 18, yang dijumpai di berhampiran Pulau Kapas dan di bawa ke jeti LIKM, Chedering, Kuala Terengganu semalam.

Mayat terakhir tragedi lemas di Pantai Pandak, Cendering, di sini petang Jumaat lepas, ditemui kira-kira 10 batu nautika dari lokasi kejadian, pagi semalam.

Mayat A.Vijaya Kumar, 18, ditemui terapung berhampiran Pulau Kapas kira-kira pukul 10.33 pagi oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu selepas dikesan oleh pesawat ringan milik Polis Di Raja Malaysia yang turut terlibat dalam operasi mencari.

Penolong Pegawai Penguasa Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu Khairul Anuar Ahmad berkata ia merupakan mayat terakhir tragedi Jumaat lepas, menjadikan jumlah semua yang lemas dalam kejadian itu ialah lima orang, manakala seorang lagi masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

"Kami mengalami sedikit kesukaran untuk membawa mayat yang ditemui hari ini kerana keadaannya yang mulai reput, menyebabkan kami terpaksa berhati-hati," katanya di Kuala Terengganu semalam.

Beliau berkata dengan penemuan mayat terakhir itu, operasi mencari dihentikan pada pukul 12 tengah hari ini, 33 jam selepas ia dilancarkan pada hari Jumaat lepas.

Kejadian pada hari Jumaat lepas berlaku pada kira-kira pukul 2 petang semasa enam bersaudara yang berasal dari Kampung Jawa, Klang, Selangor itu sedang berkelah di pantai berkenaan.

Yang maut dalam kejadian itu ialah tiga beradik S.Kumatha, 28, adiknya S.Reymond, 26, dan adik perempuannya S.Roshini, 16, manakala dua lagi ialah S.Mohan, 21, dan A.Vijaya Kumar, 18.

Seorang lagi yang terlibat dalam kejadian, G.Mathevii, 19, masih dirawat di Unit Rawatan Rapi HSNZ, dan keadaannya masih kritikal.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat ketika menjalankan gerakan mencari mangsa yang masih hilang kelmarin.

No comments:

Post a Comment