Wednesday, December 1, 2010

MKN Lancar Portal Maklumat Banjir

Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu akan melancarkan portal banjir mulai hari ini bagi membolehkan orang ramai memantau perkembangan banjir jika ia melanda.

Setiausahanya, Mohd. Tarmizi Dan berkata, melayari www.etindakan.terengganu.gov.my, orang ramai bakal mendapatkan maklumat terkini yang sentiasa dikemas kini.

Katanya, maklumat itu termasuk kawasan yang ditenggelami, laluan yang ditutup, paras sungai serta lokasi pusat pemindahan sementara serta bantuan yang disalurkan.

Menurutnya, ia akan turut menyajikan maklumat tanda-tanda awal bencana banjir akan berlaku bagi membolehkan orang ramai bersedia termasuk mengatur perjalanan atau urusan harian mereka.

Ketika dihubungi Utusan Malaysia, Mohd. Tarmizi memberitahu, portal itu membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat terkini di 198 kawasan berisiko yang dikenalpasti oleh Jabatan Pengairan dan Saliran.

"Maklumat tentang paras air juga disiarkan secara langsung di portal ini melalui sensor elektronik yang diletakkan di lokasi strategik di sepanjang sungai.

"Melalui cara ini, orang ramai tidak lagi tertanya-tanya dan bimbang kerana sukar mendapatkan maklumat,'' katanya.

Portal itu juga katanya, akan membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat yang tepat dan perkembangan terbaru pada bila-bila masa sahaja.

Jelasnya, portal berkenaan pastinya akan memudahkan orang ramai mencari maklumat lengkap untuk persediaan kemungkinan menghadapi banjir besar fenomena La Nina itu.

No comments:

Post a Comment