Tuesday, December 14, 2010

PAS Bangkit Lagi Isu Top IT Pada Persidangan DUN

Pembangkang mendesak Dewan Undangan Negeri (DUN) membincangkan laporan Jabatan Audit berhubung pengurusan anak syarikat kerajaan negeri, Top IT Industries Sdn. Bhd.

Operasi syarikat yang ditubuhkan untuk pelaksanaan program komputer riba di sekolah rendah dan menengah di negeri ini, e-Book didakwa banyak kepincangan.

Dr. Syed Azman Syed Ahmad (Pas-Batu Burok) berkata, ini berikutan laporan audit yang dibentangkan oleh Ketua Audit Negara kepada Parlimen baru-baru ini amat mengejutkan.

Beliau mengemukakan usul di bawah Peraturan Majlis Mesyuarat Fasa 30 Peraturan-Peraturan dan Perintah Tetap DUN bagi membolehkan sidang ditangguhkan untuk membincangkan soal itu.

Bagaimanapun usul itu ditolak oleh Speaker DUN, Datuk Tengku Putera Tengku Awang atas alasan ia bukan suatu yang begitu mendesak kerana masih banyak ruang untuk membincangkannya dalam Dewan.

Menurut Dr. Syed Azman, laporan tersebut antaranya menyebut aktiviti projek e-Book kurang memuaskan ekoran beberapa faktor.

''Ini termasuk tiada perjanjian di antara syarikat dengan kerajaan negeri dan antara syarikat dengan pembekal perkakasan dan perisian," katanya.

Katanya, ia perlu diberi perhatian serius kerana kerajaan telah membelanjakan hampir RM100 juta bagi pelaksanaan projek ini dan RM30 juta lagi tahun depan.

Menurut beliau lagi, laporan itu mendedahkan kadar murid sekolah yang membawa e-Book ke sekolah amat rendah iaitu hanya 18.2 peratus selain berlaku kecuaian memilih pembekal perisian sistem hingga disaman kerana dituduh meniru hak cipta syarikat lain.

''Laporan itu turut menyebut kadar kerosakan e-Book yang amat tinggi iaitu 14.4 peratus yang memberi gambaran terhadap tahap mutunya.

''Di samping itu pelan bangunan kilang tidak mendapat kelulusan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta tidak memperoleh Sijil Akuan Kelayakan Menduduki daripada Majlis Bandaraya tetapi digunakan untuk menjalankan operasi," katanya.

Beliau berkata, perkara itu melibatkan kepentingan orang ramai kerana kilang itu telah beroperasi hampir dua tahun dan 60 orang bekerja di sana menanggung risiko.

No comments:

Post a Comment